Penciptaan Langit dan Bumi – Mengikut Al-Quraan

Firman Allah dalam Surah An Nur ayat 41: “Tidakkah kamu tahu bahawasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa yang di Langit dan di Bumi dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui (cara) sembahyang dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.”
Firman Allah dalam Surah Asy Syuura ayat 29: “Dan di antara ayat-ayat (tanda-tanda kekuasaan-Nya) ialah menciptakan Langit dan Bumi dan makhluk-makhluk yang melata (dabbatin) yang Dia sebar/tebarkan pada keduanya. Dan Dia Maha Kuasa mengumpulkan semuanya apabila dikehendaki-Nya.”
Saya mempunyai buku karya Allahyarham Ustaz Amaluddin bin Darus berjudul “Pelawat Dari Angkasa”. Buku ini menceritakan berkenaan apa yang difirmankan oleh Allah mengenai maksud “dabbatin”. Ustaz Amaluddin menjelaskan bahawa makhluk seperti jin, iblis dan malaikat tak perlu melata sepertimana manusia dan haiwan kerana jin, iblis dan malaikat mempunyai keupayaan untuk terbang sedangkan makhluk yang melata (dabbatin) adalah makhluk yang mempunyai dua kaki atau empat kaki yang secara fizikalnya ialah berjalan semata-mata. Ini bermakna bahawa adalah amat mungkin ada hidupan yang diciptakan oleh Allah mendiami galaksi lain bahkan di Galaksi Bima Sakti kita sendiri. Jika manusia berada di sistem bintang matahari, pasti ada jua manusia yang mendiami sistem bintang Alfa Centauri dan sebagainya.
Walaupun Nabi Muhammad sebagai Utusan Allah seluruh alam akan tetapi ketika Israk Mi’raj, dikhabarkan hanya sedikit sahaja perjalanana baginda ke setiap lapisan langit. Kita tidak tahu lebih dari itu sebab apakah jika hadis mengenai perjalanan Rasulullah berkenaan yang lebih detail maka kaum Quraisy akan beriman sedangkan mereka tetap sentiasa memperolokkan baginda yang konon-kononnya orang tak siuman kerana mengatakan baginda pergi naik ke langit. Jadi, kita tidak tahu sama ada baginda memang pernah bertemu dengan sekian ramai makhluk lain di planet-planet luar. Sebetulnya Nabi Muhammad adalah Rahmat bagi sekalian alam. Jadi, kedatangan baginda bukan sahaja rahmat untuk umat manusia di bumi bahkan rahmat juga untuk umat manusia di lain. Wallahua’lam.
Firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran ayat 133: “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas Langit dan Bumi; yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.”
Cubalah anda semua bayangkan sebesar mana dan seluas manakah Langit iaitu Alam Semesta yang kita berada di dalamnya ini? Jika kajian sains kosmologi moden hari ini telah mengirakan jarak bintang terjauh di ‘pinggir alam’ sejauh 12 ribu juta tahun cahaya sebagai mewajarkan usia Alam Semesta berumur 14 ribu juta tahun maka seluas itu jugalah kelebaran syurga. Anggapkan jejari Alam Semesta sebagai 14 ribu juta tahun atau berdiameter 28 ribu juta tahun. Ini bermakna isipadu sfera Alam Semesta adalah sama luas dengan keluasan isipadu syurga yang firmankan oleh Allah itu.
Ini juga bermakna bahawa sangat ramai sekali makhluk-makhluk Allah yang akan ditempatkan kedalam syurga itu nanti!! Cubalah anda bayangkan bagaimana Allah menciptakan manusia di atas planet Bumi dari semenjak Nabi Adam diturunkan hinggalah kiamat, berapakah jumlahnya semua?? Mungkin saja planet Bumi ini tidak akan dapat menampung keseluruhan manusia yang telah Allah jadikan semenjak Adam hingga kiamat. Ini bermakna bahawa Padang Mahsyar yang disebutkan dalam Al Quran untuk menempatkan sekalian jagat manusia bukanlah planet Bumi yang kita diami sekarang ini bahkan satu planet Bumi yang lain. Iaitu satu planet yang telah bergabung dengan segala nebula dan galaksi yang sebelum ini tidak terapung-apung di angkasa raya. Bukankah telah Allah firmankan bahawa kiamat itu bilamana langit berguguran jatuh ke Bumi, maka dengan itu Bumi mendapat isipadu yang jauh lebih besar dari planet Bumi yang kita duduki sekarang ini!!
Bagaimana hendak membayangkan besarnya planet Bumi Mahsyar itu nanti? Begini, cuba anda bayangkan planet Bumi yang kita duduki sekarang ini umpama sebiji guli yang berada di atas planet Bumi. Ataupun bandingkan saja sebiji guli itu dengan bintang superraksasa Betelgeuse! Begitulah maksud saya bagaimana besar dan luasnya Bumi Mahsyar nanti yang akan menampung sekian ramai Manusia Langit dan Bumi di akhirat nanti.
Ini juga bermakna bahawa Allah Ta’ala akan mengumpulkan kembali semua manusia (yang di Langit dan di Bumi) yang berada di keseluruhan Alam Semesta pada hari kiamat nanti!! Bayangkan bagaimana kita akan berdepan dengan keseluruhan makhluk ciptaan Allah yang sebelum ini tidak pernah kita temui di Bumi melainkan apa yang dikhayalkan dalam filem Star Wars (bangsa Rodian, Tusken, Jabba, Aqualish, Ithorian, Devaronian, Ewoks) dan Star Trek (seperti bangsa Vulcan, Klingon, Romulan, Ferenggi, Cardassian, Borg) dan lain-lain di Bumi Mahsyar nanti!!
Cubalah anda fikir bagaimana Ilmu Sains walaupun setengahnya fiksyen berupaya menggambarkan kewujudkan makhluk lain yang mempunyai jagat raya ini dan ini sangat menghampiri kepada apa yang telah difirmankan oleh Allah dalam Al Quran. Ini bermakna bahawa Ilmu Sains berupaya menafsirkan Quran dengan jujur dan saksama, tidak sepertimana cara yang dibuat oleh Ilmu Agama sendiri. Ilmu Agama hanya menghalusi kaedah bahasa Arab dari segi nahu dan seumpamanya sedangkan Ilmu Sains berupaya menghalusi dengan kaedah pemikiran terkini dan penemuan manusia. Namun Al Quran bukanlah hanya dapat ditafsirkan dengan kaedah sains atau fikiran semata-mata kerana kita amat memerlukan Hadis Nabi SAW untuk maksud ini.
Dalil Lama Masa Kejadian
Baiklah, saya ingin membawa anda kepada firman Allah yang lain pula mengenai persoalan MASA yang disebutkan dalam Al Quran.
Firman Allah dalam Surah Fushshilat ayat 9-12: “Katakanlah: Sesungguhnya patutkah kamu kafir kepada Yang Menciptakan Bumi dalam dua masa dan kamu adakan sekutu-sekutu bagi-Nya? (Yang bersifat) demikian itulah Tuhan Semesta Alam. Dan Dia menciptakan di Bumi itu gunung-ganang yang kukuh di atasnya. Dia memberkahinya dan Dia menentukan padanya kadar makanan-makanan (penghuni)nya dalam empat masa sesuai bagi segala yang memerlukannya. Kemudian Dia menuju kepada penciptaan Langit dan Langit itu masih merupakan kabus (wap, asap: Ad Dukhan), lalu Dia berkata kepadanya dan kepada Bumi: Datanglah kamu keduanya menurut perintah-Ku dengan suka hati atau terpaksa. Keduanya menjawab: Kami datang dengan suka hati. Maka Dia menjadikannya Tujuh Langit dalam dua masa dan Dia mewahyukan kepada tiap-tiap langit urusannya. Dan Kami hiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang yang cemerlang dan Kami memeliharanya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa Lagi Maha Mengetahui.”
Firman Allah dalam Surah Yunus ayat 3: “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan Langit-langit dan Bumi dalam enam hari, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy (Singgahsana) untuk mengatur segala urusan….”
Firman Allah dalam Surah As Sajdah ayat 4-5: “Allah Yang Menciptakan Langit-langit dan Bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy. Dia mengatur urusan dari Langit ke Bumi, kemudian (urusan) itu naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadarnya (lamanya) adalah seribu tahun menurut perhitunganmu.”
Tiga dalil di atas tadi menunjukkan beberapa istilah yang berlainan iaitu perkataan masa (sanah) dan hari (aiyam). Bagaimanakah kita hendak memahami ketiga-tiga dalil ini?
Perhatikan Hadis pertama yang saya perturunkan di bawah ini. Namun, ingin saya nyatakan bahawa Hadis ini tidak diketahui sumber mana dan perawi mana, jadi saya menggesa sesiapa yang mengetahui sumber/perawinya agar memberitahu saya kelak untuk tujuan rujukan penting.
Sabda Rasulullah SAW: “Ketika Allah hendak menciptakan Langit dan Bumi, terlebih dahulu Allah menciptakan suatu benda yang berwarna hijau. Besarnya benda itu beberapa kali ganda besar Langit dan Bumi. Apabila Allah melihat benda itu dengan pandangan yang tajam, berubahlah ia menjadi air (Al Mak). Kemudian Allah merenung pula pada air dan dengan serta-merta air itu mendidih dan muncullah daripadanya buih dan wap (Ad Dukhan). Buih dan wap ini sentiasa bergerak hingga ke hari kiamat kerana takut kepada Allah. Daripada wap itulah Allah menjadikan Langit dan Bumi. Sesungguhnya Allah telah menciptakan tujuh Langit dan Bumi ini selama enam hari dalam bulan Syawal. Oleh itu, barangsiapa berpuasa selama enam hari dalam bulan Syawal, Allah akan berikan ganjaran kebaikan sebanyak bilangan makhluk yang telah dicipta. Selain itu, Allah akan menghapuskan semua kejahatan serta mengangkat pula darjatnya.”
Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah telah menciptakan Langit-langit dan Bumi dan ciptaan-ciptaan antara keduanya dalam enam hari, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy di hari ketujuh dan Dia telah menciptakan tanah di hari Sabtu.” – Riwayat An Nasai menerusi Al Juzjani ke Abu Hurairah.
Merujuk kepada dalil-dalil Al Quran di atas tadi iaitu Surah Fushshilat, Yunus dan As Sajdah, pada mulanya kita mendapati bahawa Allah menjadikan Langit dalam dua masa (Fushshilat: 12) manakala Dia menjadikan Langit dan Bumi dalam enam masa (Yunus: 3 dan As Sajdah: 4-5). Tentu anda akan tertanya yang manakah dijadikan dalam dua masa, yang manakah dijadikan dalam empat masa dan yang manakah pula dalam enam masa ataupun enam hari?? Dalam sabda Rasulullah SAW menyebut bahawa Allah menjadikan tujuh Langit dan Bumi dan ciptaan antara keduanya dalam enam hari (masa) bahkan di dalam bulan Syawal.
Jadi, kesimpulan di sini ialah bahawasanya:
1. Sebelum kejadian Langit dan Bumi, terdapat satu ciptaan benda yang berwarna hijau. Jika benda yang berwarna hijau ini boleh diberikan statusnya, kenapa tidak kita menyebutnya sebagai SUPERBUMI? Dan kalau pemahaman saya tidak silap, tentu saja saya ingin nyatakan bahawa SUPERBUMI ini dijadikan oleh Allah dalam empat masa di mana jisim SUPERBUMI ini adalah terdiri dari “unsur air”. Kajian kosmologi moden hari ini menemui bukti bahawa terdapat satu kuantiti jisim fizik kuantum yang membentuk Alam Semesta iaitu SUPERFLUID HELIUM 3 (lihat majalah Scientific American keluaran Jun 1990 pada mukasurat 64). Superfluid Helium 3 adalah satu bahan yang sangat mirip kepada air. Jadi, apa yang difirmankan oleh Allah dalam ayat 9-12 Surah Fushshilat mengenai asal Alam Semesta dari air telah dibuktikan oleh sains hari ini. Bukanlah air sahaja yang membentuk hidupan bahkan Alam Semesta ini juga berasal dari air!
2. SUPERBUMI diciptakan dalam empat masa sedangkan Tujuh Lapis Langit diciptakan dalam dua masa. Oleh itu keseluruahan kejadian (SUPERBUMI + Tujuh Lapis Langit) adalah selama enam masa.
3. Dari SUPERBUMI kemudian naiknya wap-wap “unsur air” itu yang membentuk Tujuh Lapis Langit dan juga Bumi-bumi yang lain (termasuk Bumi yang kita diami ini iaitu – apa yang ada di antara keduanya) dalam enam masa.
4. Dalam Surah Fushshilat ayat 9-12 terdapat seakan-akan satu perselisihan (perselisihan inilah yang dijadikan sandaran oleh Syed Kamran Mirza untuk menghentam Al Quran) iaitu:
a. Bumi dijadikan dalam dua masa. b. Kadar makanan penghuni-penghuninya dalam empat masa. c. Tujuh Langit dalam dua masa.
5. Jawapan saya kepada perselisihan ini ialah:
a. Bumi yang dijadikan dalam dua masa ialah bumi yang telah terpisah dari SUPERBUMI di mana telah ada dua unsur setelah pemisahan dari SUPERBUMI iaitu Bumi (masih berupa air) yang agak kecil sedikit dari SUPERBUMI dan Langit (yang berupa wap, asap atau kabus).
b. Kadar makanan penghuni-penghuninya bermaksud kadar makanan bagi semua penghuni yang menghuni seluruh Alam Semesta, bukan setakat manusia yang menghuni planet Bumi sahaja. Kadar makanan ini ditentukan oleh Allah semenjak azali lagi (sepertimana telah tertulis dalam Lauhil Mahfuzh) selama empat masa. Terdapat dua istilah di sini pula iaitu kadar empat masa makro bagi seluruh Alam Semesta dan kadar empat masa mikro bagi manusia planet Bumi. Kadar empat masa makro ialah satu masa yang kurang sedikit dari usia Alam Semesta (yang dianggarkan berusia 14 ribu juta tahun) manakala empat masa mikro ialah bersamaan dengan usia planet Bumi yang diperkirakan oleh saintis Geologi berusia 4,500 juta tahun, bahkan empat masa mikro itulah 4,500 juta tahun kerana bukankah nilai 4,500 juta itu nilainya adalah 4 (sebut di sini sebagai empat).
c. Tujuh Langit dalam dua masa pula ialah kejadian tujuh lapisan langit yang mengambil masa selama 100 ribu juta tahun apabila mengambil tempoh perhitungan 50 ribu sanah sepertimana yang disebutkan dalam ayat 4 Surah Al Ma’arij: “Malaikat-malaikat dan Jibrail naik (mengadap) kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu sanah). Sanah di sini patut sekali bermakna juta tahun.
Secara ringkasnya apa yang sepatutnya difahami dari kesimpulan dalil-dalil Quran adalah seperti di bawah:
1. Kejadian SUPERBUMI dalam empat masa = 200 ribu juta tahun (2 x 10 kuasa 11).
2. Kejadian Tujuh Lapis Langit dalam dua masa = 100 ribu juta tahun (1 x 10 kuasa 11).
3. Kejadian no.1 dan no. 2 berlangsung selama enam masa = 300 ribu juta tahun (3 x 10 kuasa 11).
3. Kejadian Alam Semesta (Langit Pertama) + Bumi-bumi mikro (planet Bumi yang kita diami adalah salah satu dari bumi mikro) yang juga dalam enam masa = 14 ribu 285 juta 714 ribu 290 tahun.
Ringkasannya adalah seperti berikut:
1. SUPERBUMI = 4 Masa
2. 7 Langit = 2 Masa (Sab’a samawati wal ardh)
Jumlah = 6 Masa —— disebut di sini sebagai Langit-langit dan Bumi (termasuk Superbumi) atau “As Samawati wal Ardh”.
Oleh yang demikian,
7 Langit = 2 Masa dibahagikan kepada tujuh langit akan memperolehi hasil iaitu 2/7 = 0.285714285714 Masa bagi setiap lapisan langit.
Apabila 1 Masa atau 1 Hari dianggap mewakili 24 Jam, maka 0.285714285714 Masa x 24 Jam = 6 Jam 51 Minit 25.71 Saat.
Bermakna 6 Jam 51 Minit 25.71 Saat juga bererti “6 Masa”.
Ini bermakna 6 Jam 51 Minit 25.71 Saat iaitu “6 Masa” adalah juga lama masa penciptaan bagi Alam Semesta (Langit Pertama) atau The Universe. Alam Semesta iaitu Langit Pertama ialah Alam Semesta yang kita diami ini iaitu yang terjadi berdasarkan apa yang diteorikan menurut teori Big Bang atau Letusan Besar Duniawi. Ini juga bermakna kandungan Langit Pertama-lah di mana di dalamnya berlakunya Big Bang tetapi tidak bagi 6 Langit yang lain.
Jadi, “perselisihan” tadi telah dapat diselesaikan iaitu:
1. Kejadian yang paling awal ialah SUPERBUMI (SUPEREARTH) atau BUMI PERDANA = 4 Masa atau Hari
Kemudian dijadikan Langit Ke-7, Ke-6 hinggalah yang terakhir iaitu Langit Pertama.
Susunannya adalah:
1. Langit Ke-7 = 0.285714285 Masa = 6 Jam 51′ 25.71″ # (6 Masa!!!)
2. Langit Ke-6 = 0.571428571 Masa = 13 Jam 42′ 51.43″
3. Langit Ke-5 = 0.857142857 Masa = 20 Jam 34′ 17.14″
4. Langit Ke-4 = 1.142857143 Masa = 1 Hari 03 Jam 25′ 42.86″
… Langit Ke-3.5 = 1.0000000 Masa = 1 Hari
5. Langit Ke-3 = 1.428571429 Masa = 1 Hari 10 Jam 17′ 08.57″
6. Langit ke-2 = 1.714285714 Masa = 1 Hari 17 Jam 08′ 34.29″
7 Langit Pertama = 2.00000000 Masa = 2 Hari # (2 Masa!!!)
* setiap lapisan langit terjadi dalam masa 0.285714285 Masa atau 6 Jam 51 Minit 25.71 Saat (boleh juga disebut sebagai 6 Masa!!!) yang bersamaan dengan 14 ribu 285 juta 714 ribu 290 tahun.
Bahkan 14 ribu 285 juta 714 ribu 290 tahun juga boleh disebut sebagai 2 MASA. Kenapa? Sebab:-
MASA PERTAMA adalah 7,142,857,140 tahun
MASA KEDUA adalah 14 ribu 285 juta 714 ribu 290 tahun
Ini adalah simbolik kepada lama masa dua minggu yang kita pakai iaitu 14 hari.
Jadi, faham di sini bahawa ayat-ayat Al Quran yang menyentuh mengenai penggunaan istilah MASA kejadian Langit dan Bumi telah digunakan oleh Allah Ta’ala dengan begitu indah sekali, begitu simbolik, begitu umum……. sukar sekali hendak diucapkan dengan kata-kata sebab apabila disebutkan mengenai contoh-contoh 2 Masa, 4 Masa, 6 Masa…. semuanya mempunyai maksud dan penggunaan yang tersendiri. Jadi, Syed Kamran Mirza yang menghentam Al Quran sebenarnya terkeliru dengan sekeliru-lirunya yang membawa beliau kepada kesesatan apabila mendustakan ayat-ayat Al Quran khususnya yang berhubungan dengan masa penciptaan Langit dan Bumi.
Mari kita lihat bagaimana nilai-nilai yang diberikan oleh sains moden bertepatan dengan usia Bumi yang saya temui dari Al Quran:
Susunan kejadian Bumi (Earth):
1. Bumi (panas) = 4,081,632,653 tahun (Quran) = 4,500 juta tahun (Sains Moden)
2. Bumi (menyejuk) = 2,332,361,516 tahun (Q) = 2,500 juta tahun (SM)
3. tanah (land atau at turbah) = 1,166,180,758 (Q) = 1,250 juta tahun (SM)
– sila perhatikan di sini bahawa ada dua istilah bagi tanah iaitu earth dan land, sebab itulah penggunaan perkataan Al Ardh (Bumi ataupun Tanah) mesti berhati-hati bagi memahami ayat Al Quran yang menyentuh mengenai kejadian Langit dan Bumi.
4. gunung (Al Jibal) = 777,453,838.666 tahun (Q) = 750 juta tahun (SM)
5. pokok (As Sajaro) = 583,090,379 tahun (Q) = 570 juta tahun (SM) iaitu di Zaman Cambria.
6. Al Makruh = 466,472,303.200 tahun (Q) = ??? (Sains Moden tidak memberikan takrif ini) iaitu di Zaman Silurian.
7. cahaya = 388,726,919.333 tahun (Q) = 400 juta tahun (anggaran Sains Moden bagi permulaan cahaya merambat?) iaitu di Zaman Devonian.
8. binatang = 333,194,502.285 tahun (Q) = 350 juta tahun (SM) iaitu di Zaman Karbon.
9. manusia = 291,545,189.5 tahun (Q) iaitu di Zaman Permian atau Triassic = anggaran oleh Sains Moden hanyalah 2 juta tahun bagi manusia purba.
Zaman Jurassic atau Cretaceous dari 150 juta tahun silam dan Zaman Tertiary adalah dari 80 juta tahun silam. Dinosaur pupus selepas Zaman Tertiary iaitu 65 juta tahun silam selepas jatuhnya tahi bintang di laut Semenanjung Yucatan dekat Mexico. Namun masih ada juga dinosaur yang masih hidup sepertimana yang ditemui di Tasik Loch Ness, Scotland dan juga ikan purba Coelacanth yang masih wujud hingga kini.
Harus diingat bahawa manusia moden (kita) adalah berketurunan Adam yang turun dari syurga semenjak 7 ribu tahun lalu dan bukannya spesis dari manusia purba yang diketahui wujud di bumi selama ini. Harun Yahya dalam bukunya “Kisah Mengenai Penciptaan” menyebut dengan jelas perkara ini iaitu manusia Neanderthal, Cro-Magnon mahupun Peking bukannya leluhur kepada kita.
Bagaimana mendapatkan nilai usia Bumi menurut Al Quran. Gunakan usia Alam Semesta iaitu 14,285,714,290 tahun x (2/7) = 4,081,632,653 tahun. 2/7 adalah maksud bagi 2 Masa dibahagikan kepada 7 pecahan Bumi-bumi (Bumi-bumi berpecah kepada 7 pecahan setelah Big Bang).
Sebelum saya mengakhiri artikel ini, saya ingin memberi anda petunjuk kepada makna lain bagi 2 Masa, 4 Masa dan 6 Masa yang disebutkan oleh Quran menurut contoh-contoh di bawah, semuanya bukan satu kebetulan tetapi memang telah direncanakan oleh Allah Yang Maha Bijaksana:-
1. Planet Bumi berukur lilit 40,069,60686 km (khatulistiwa) dan 39,936.39705 km (polar iaitu kutub ke kutub), tidakkah ini dapat dimengertikan sebagai 4 Masa iaitu nilai 4 pada 40,069 dan 39,936 yang boleh ditakrifkan sebagai 4 Masa (bersesuaian dengan Surah Fushshilat) dan dalam Surah An Naziat: wal ardha ba’ dzalika dahaha (Bumi sesudah itu dibentukkan-Nya seperti sebiji telur) yang bermakan pembentukan Bumi sebagai sebiji telur itu tentunya mengambil masa selama 4 Masa iaitu 40,069 kilometer!!
2. Jarak Bumi ke Matahari sejauh 150 juta km boleh ditakrifkan sebagai 2 Masa apabila mengambil nilai 1.5 dari 150 juta.
3. Jarak Bumi ke Bulan sejauh 384,000 kilometer juga boleh ditakrifkan bahawa Bulan itu berada sejauh 4 Masa dari Bumi apabila nilai 3.84 dari 384,000 dibaca.
4. Matahari itu jauh lebih besar dari Bulan sebanyak 400 kali iaitu diameter matahari 1,392,530 km dan Bulan pula 3,476 km bahkan Matahari itu juga berada sejauh 400 kali lebih jauh dari Bulan iaitu 150 juta km berbanding Bulan 384 ribu km. Nilai 400 boleh ditakrifkan sebagai 4 Masa!!
5. Kedudukan Ka’abah di atas Bumi yang berada di latitud (garisan lintang utara) iaitu 21 darjah 25 minit 15.60 saat dan di longitud (garisan bujur timur) 39 darjah 49 minit 29.10 saat. Tidakkah latitud 21 25 15.60 ini boleh saja ditakrifkan sebagai 2 Masa dan 39 49 29.10 sebagai 4 Masa? Jumlah 21 25 15.60 + 39 49 29.10 = 61 14 44.70 ataupun 6 Masa!!!
6. Rata-rata ketinggian manusia sama ada lelaki dan perempuan adalah minimum 2 kaki (orang pendek/kerdil) dan 6 kaki walaupun maksimum boleh saja hingga 8 kaki. Tidakkah Allah Ta’ala telah merencanakan tinggi manusia juga 2 Masa (2 kaki) hingga 6 Masa (6 kaki)??
7. Planet Pluto yang dianggap terjauh setakat ini berada sejauh 39.44 Unit Astronomi, tidakkah ia berada sejauh 4 Masa?? Planet ke-12 atau Muntaha sepertimana yang saya pernah tuliskan dahulu berada sejauh 62.99605249 Unit Astronomi, tidakkah ia berada sejauh 6 Masa??
8. Bumi mengelilingi Matahari adalah selama 365 hari. Ambil 3.65 sebagai 4, tidakkah ini melambangkan sebagai 4 Masa???
9. Sehari semalam adalah 24 jam, tidakkah nilai 2.4 ini bermaksud 2 Masa???
10. Jungkit orbit paksi Bulan adalah mengambil masa selama 18 tahun. Tidakkah 1.8 ini bermaksud 2 Masa???
Tidakkah 10 pernyataan sebegini (bahkan ada banyak lagi yang tak sempat saya perturunkan di sini) membuktikan bahawa Allah Ta’ala telah merencanakan keadaan dan kedudukan alam cakerawala dengan istilah Masa yang Dia nyatakan dalam semua dalil Quran?? Perhatikanlah firman Allah berikut:-
“Dia akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan-Nya di segenap ufuk dan penjuru sehingga nyatalah apa-apa daripada-Nya adalah benar.” (sanuriihim ayaatina fil afaaq, wa anfusihim hatta ya tabaina lahum annahul haq – Fushshilat).
“Yang manakah nikmat Tuhan kamu yang kamu dustakan?” (Ar Rahman).
Jadi, saya ingin membawa satu pesanan kepada anda semua bahawa penemuan sains moden memang telah menunjukkan segala kebenaran firman Allah dalam Al Quran. Ini bererti bahawa jika umat Islam sendiri tidak mahu mempelajari Ilmu Sains dengan beranggapan Ilmu Sains adalah Ilmu Duniawi maka umat Islam telah membuat satu kesilapan yang besar dalam hidup mereka.
Jadi, penemuan sains moden bahawa Bumi mengelilingi Matahari adalah satu fakta kebenaran hakiki, bukan main-main. Matahari juga beredar mengelilingi Galaksi Bima Sakti selama 250 juta tahun bahkan Matahari juga berpusing di atas paksi, buktinya sunspot beredar dari hari ke hari di atas permukaannya sesuai dengan firman Allah dalam Surah Yasin ayat 40.
Jadi, segala ilmu yang disampaikan oleh Allah kepada jagat manusia yang berupa ilmu sains (istilah sains sendiri bermaksud “pengetahuan” iaitu scientia) adalah ilmu kebenaran kepada mempercayai Maha Pencipta. Jadi, kenapa perlu mengabaikan Ilmu Sains hanya semata-mata mengambil apa yang dipelajari secara Islami (Ilmu Agama) semata-mata?
Kesimpulannya ialah, segala penemuan sains memang boleh digunakan untuk menafsirkan dalil Quran jika Ilmu Agama tidak berupaya menafsirkan dalil yang berkenaan sementara jika Ilmu Sains tidak dapat menafsirkan dalil Quran, maka tafsiran dari Ilmu Agama adalah tafsiran yang muktamad semuktamadnya seperti kisah-kisah alam ghaib yang tidak dapat dijawab oleh sains.
Satu contoh kepada melihat anak bulan, dengan adanya sistem kiraan yang kompleks (berkomputer) dan peralatan yang canggih (teodolit/teleskop), tidakkah Ilmu Sains dan Teknologi mengubah cara melihat anak bulan dari melihat dengan mata kasar semata-mata??
Jika sistem perhitungan berasaskan kepada Bumi mengelilingi Matahari tidak digunakan, bagaimanakah mungkin saintis Barat akan dapat mengirim roket ke Bulan dan juga satelit ke planet Marikh sedangkan di kalangan umat Islam sendiri pun ada yang tidak mahu mempercayai dua perkara ini iaitu:
1. Bumi itu bulat.
2. Manusia telah mendarat di Bulan.

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | iFreeCellPhones.com offers free mobile phones. | Thanks to PalmPreBlog.com, Facebook Games and Fettverbrennungsofen