Hukum Hakam Qurban Bahagian 2.

Haiwan yang disukai dan lebih utama untuk dikorbankan
Hendaknya haiwan yang dikorbankan adalah haiwan yang gemuk dan sempurna. Dalilnya adalah firman Allah ta’ala yang ertinya, “…barangsiapa yang mengagungkan syi’ar-syi’ar Allah maka sesungguhnya itu adalah berasal dari ketakwaan hati.” (Qs. Al Hajj: 32)
Berdasarkan ayat ini Imam Syafi’i rahimahullah menyatakan bahawa orang yang berkorban disunnahkan untuk memilih haiwan korban yang besar dan gemuk. Abu Umamah bin Sahl menyatakan, “Dahulu kami di Madinah biasa memilih haiwan yang gemuk dalam berkorban. Dan memang kebiasaan kaum muslimin ketika itu adalah berkorban dengan haiwan yang gemuk-gemuk.” (HR. Al-Bukhari secara mu’allaq namun disampaikan dengan kalimat tegas dan disambungkan sanadnya oleh Abu Nu’aim dalam Al Mustakhraj, sanadnya hasan)
Di antara ketiga jenis haiwan korban maka menurut majoriti ulama yang paling utama adalah berkorban dengan unta, kemudian lembu kemudian kambing, jika belanja perbelanjaan masing-masing ditanggung satu orang (bukan perkongsian). Dalilnya adalah jawapan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam ketika ditanya oleh Abu Dzar radhiallahu ‘anhu tentang hamba yang lebih utama. Beliau bersabda, “Iaitu hamba yang lebih mahal dan lebih bernilai dalam pandangan pemiliknya.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim). (lihat Shahih Fiqih Sunnah, II/374)
Manakah yang lebih baik, ikut bergabung korban lembu atau korban satu kambing?
Sebahagian ulama menjelaskan korban satu kambing lebih baik daripada ikut berkongsi lembu atau unta, kerana tujuh kambing manfaatnya lebih banyak daripada seekor lembu (lih. Shahih Fiqh Sunnah, 2/375, Fatwa Lajnah Daimah no. 1149 & Syarhul Mumthi’ 7/458). Disamping itu, terdapat alasan lain diantaranya:
1. Korban yang dilakukan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah sentiasa satu ekor, baik kambing, lembu, mahupun unta, bukan 1/7 lembu atau 1/10 unta.
2. Kegiatan menyembelihnya menjadi lebih banyak. Lebih-lebih jika hadis yang menyebutkan keutamaan korban di atas statusnya shahih (lih. Hadis pada perbahasan keutamaan berkorban). Hal ini juga sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh penulis kitab Al Muhadzab Asy syirozi As Syafi’i. (lih. Al Muhadzab 1/74).
3. Terdapat sebahagian ulama yang melarang perkongsian dalam berkorban, diantaranya adalah Mufti Negeri Saudi Syaikh Muhammad bin Ibrahim (lih. Fatwa Lajnah 11/453). Namun larangan ini didasari dengan qiyas (analogi) yang bertentangan dengan dalil sunnah, sehingga jelas salahnya. Akan tetapi, berkorban dengan satu ekor binatang, setidaknya akan mengeluarkan kita daripada perselisihan ulama.
Apakah mesti jantan?
Tidak ada ketentuan jenis jantina haiwan korban. Boleh jantan mahupun betina. Dari Ummu Kurzin radhiallahu ‘anha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Aqiqah untuk anak lelaki dua kambing dan anak perempuan satu kambing. Tidak jadi masalah jantan mahupun betina.” (HR. Ahmad 27900 & An Nasa’i 4218 dan dishahihkan Syaikh Al Albani). Berdasarkan hadis ini, As Syirozi As Syafi’i menyatakan: “Jika dibolehkan menggunakan haiwan betina ketika aqiqah berdasarkan hadis ini, menunjukkan bahawa hal ini juga boleh untuk berkorban.” (Al Muhadzab 1/74)
Namun umumnya haiwan jantan itu lebih baik dan lebih mahal dibandingkan haiwan betina. Oleh kerana itu, tidak wajib haiwan jantan namun diutamakan jantan.
Larangan bagi yang hendak berkorban
Orang yang hendak berkorban dilarang memotong kuku dan memotong rambutnya. Yang dilarang untuk dipotong kuku dan rambutnya di sini adalah orang yang hendak korban bukan haiwan korbannya. Dari Ummu Salamah dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam beliau bersabda, “Apabila engkau telah memasuki sepuluh hari pertama (bulan Dzulhijjah) sedangkan diantara kalian ingin berkorban maka janganlah dia menyentuh sedikitpun bahagian dari rambut dan kulitnya.” (HR. Muslim)
Larangan tersebut berlaku untuk cara apapun dan untuk bahagian kuku mahupun rambut manapun. Ertinya mencakup larangan mencukur botak atau mencukur sebahagian saja, atau sekadar mencabutinya. Baik rambut itu tumbuh di kepala, kumis, sekitar kemaluan mahupun di ketiak (lihat Shahih Fiqih Sunnah II/376).
Apakah larangan ini hanya berlaku untuk kepala keluarga ataukah berlaku juga untuk semua anggota keluarga shohibul korban?
Jawab: Larangan ini hanya berlaku untuk kepala keluarga (shohibul korban) dan tidak berlaku bagi anggota keluarganya. Ini kerana 2 alasan:
• Zahir hadis menunjukkan bahawa larangan ini hanya berlaku untuk yang mahu berkorban.
• Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam sering berkorban untuk dirinya dan keluarganya. Namun belum ditemukan riwayat bahawasanya beliau melarang anggota keluarganya untuk memotong kuku mahupun rambutnya. (Syarhul Mumti’ 7/529)
Waktu penyembelihan
Waktu penyembelihan korban adalah pada hari Iedul Adha dan 3 hari sesudahnya (hari tasyriq). Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Setiap hari taysriq adalah (hari) untuk menyembelih (korban).” (HR. Ahmad dan Baihaqi) Tidak ada perbezaan waktu siang ataupun malam. Baik siang mahupun malam sama-sama dibolehkan. Namun menurut Syaikh Al Uthaimin, melakukan penyembelihan di waktu siang itu lebih baik. (Tata Cara Korban Tuntutan Nabi, hal. 33).
Kemudian, para ulama sepakat bahawa menyembelih korban tidak boleh dilakukan sebelum terbitnya fajar di hari Iedul Adha. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa yang menyembelih sebelum solat Ied maka sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri (bukan korban). Dan barangsiapa yang menyembelih sesudah solat itu maka korbannya sempurna dan dia telah menepati sunnahnya kaum muslimin.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim) (lihat Shahih Fiqih Sunnah II/377)
Tempat penyembelihan
Tempat yang disunnahkan untuk menyembelih adalah tanah lapangan tempat solat ied diselenggarakan. Dianjurkan untuk menyembelih korbannya di lapangan dalam rangka memberitahu kepada kaum muslimin bahawa korban sudah boleh dilakukan dan sekaligus mengajari tata cara korban yang baik. Ibnu ‘Umar menyatakan, “Dahulu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa menyembelih kambing dan unta (korban) di lapangan tempat solat.” (HR. Al-Bukhari 5552)
Akan tetapi, dibolehkan untuk menyembelih korban di tempat manapun yang disukai, baik di rumah sendiri ataupun di tempat lain. (Lihat Shahih Fiqih Sunnah, II/378)
Siapakah yang menyembelih korban?
Dianjurkan bagi shohibul korban untuk menyembelih haiwan korbannya sendiri jika mampu menyembelih dengan baik. Namun boleh diwakilkan kepada orang lain. Syaikh Ali bin Hasan menyatakan: “Saya tidak mengetahui adanya perbezaan pendapat di kalangan ulama’ dalam masalah ini.” Hal ini berdasarkan hadis Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu di dalam Shahih Muslim yang menceritakan bahawa pada saat korban Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah menyembelih beberapa unta korbannya dengan tangan beliau sendiri kemudian sisanya diserahkan kepada Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu untuk disembelih. (lih. Ahkaamul Idain, 32)
Tata cara penyembelihan
1. Sebaiknya pemilik korban menyembelih haiwan korbannya sendiri jika mampu menyembelih dengan baik.
2. Apabila pemilik korban tidak boleh menyembelih sendiri maka sebaiknya dia ikut datang menyaksikan penyembelihannya.
3. Hendaknya memakai alat yang tajam untuk menyembelih.
4. Haiwan yang disembelih dibaringkan di atas sisi kirinya dan posisi kaki-kakinya ke arah kiblat.
5. Leher haiwan diinjak dengan telapak kaki kanan penyembelih, sebagaimana yang dilakukan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Kemudian pisau ditekan kuat-kuat supaya cepat putus.
6. Ketika akan menyembelih disyari’akan membaca bismillaahi wallaahu akbar ketika menyembelih. Untuk bacaan bismillah (tidak perlu ditambahi Ar Rahman dan Ar Rahiim) hukumnya wajib menurut Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad, sedangkan menurut Imam Syafi’i hukumnya sunnah. Adapun bacaan takbir – Allahu Akbar – para ulama sepakat kalau hukum membaca takbir ketika menyembelih ini adalah sunnah dan bukan wajib. Kemudian diikuti bacaan:
– haza minka wa laka. (HR. Abu Dawud 2795) Atau
– haza minka wa laka ‘anni atau ‘an fulan (disebutkan nama shahibul korban). atau
– Berdoa agar Allah menerima korbannya dengan doa, Allahumma taqabbal minni atau min fulan (disebutkan nama shahibul korban) (lih. Tata Cara Korban Tuntutan Nabi, hal. 92)
Catatan: Tidak terdapat do’a khusus yang panjang bagi shohibul korban ketika hendak menyembelih. Wallahu a’lam.
Bolehkah mengucapkan selawat ketika menyembelih?
Tidak boleh mengucapkan selawat ketika hendak menyembelih, kerana 2 alasan:
1. Tidak terdapat dalil bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam mengucapkan selawat ketika menyembelih. Sementara beribadah tanpa dalil adalah perbuatan bid’ah.
2. Boleh jadi orang akan menjadikan nama Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai wasilah ketika korban. Atau bahkan boleh jadi seseorang membayangkan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam ketika menyembelih, sehingga sembelihannya tidak murni untuk Allah. (lih. Syarhul Mumti’ 7/492)
Memanfaatkan hasil sembelihan
Bagi pemilik haiwan korban dibolehkan memanfaatkan daging korbannya, melalui:
1. Dimakan sendiri dan keluarganya, bahkan sebahagian ulama menyatakan shohibul korban wajib makan bahagian haiwan korbannya. Termasuk dalam hal ini adalah berkorban kerana nazar menurut pendapat yang benar.
2. Disedekahkan kepada orang yang memerlukan.
3. Dihadiahkan kepada orang yang kaya.
4. Disimpan untuk bahan makanan di lain hari. Namun penyimpanan ini hanya dibolehkan jika tidak terjadi musim kebuluran atau krisis makanan.
Dari Salamah bin Al Akwa’ dia berkata; Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa di antara kalian yang berkorban maka jangan sampai dia menjumpai subuh hari ketiga sesudah hari raya sedangkan dagingnya masih tersisa walaupun sedikit.” Ketika datang tahun berikutnya maka para sahabat menyatakan, “Wahai Rasulullah, apakah kami mesti melakukan sebagaimana tahun lalu?” Maka beliau menjawab, “(Adapun sekarang) Makanlah sebahagian, sebahagian lagi berikan kepada orang lain dan sebahagian lagi simpanlah. Pada tahun lalu masyarakat sedang mengalami kesulitan (makanan) sehingga aku berkeinginan supaya kalian membantu mereka dalam hal itu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Menurut majoriti ulama perintah yang terdapat dalam hadis ini menunjukkan hukum sunnah, bukan wajib (lihat Shahih Fiqih Sunnah, II/378). Oleh sebab itu, boleh mensedekahkan semua hasil sembelihan korban. Sebagaimana diperbolehkan untuk disedekahkan seluruhnya kepada orang miskin dan sedikitpun tidak diberikan kepada orang kaya. (Minhaajul Muslim, 266).

Bolehkah memberikan daging korban kepada orang Kafir?
Ulama mazhab Malikiyah berpendapat makruhnya memberikan daging korban kepada orang kafir. Imam Malik menyatakan: “(diberikan) kepada selain mereka (orang kafir) lebih aku sukai.” Sedangkan Syafi’iyah berpendapat haramnya memberikan daging korban kepada orang kafir untuk korban yang wajib (misalnya korban nazar, pen.) dan makruh untuk korban yang sunnah. (lih. Fatwa Syabakah Islamiyah no. 29843). Al Baijuri As Syafi’i menyatakan: “Dalam Al Majmu’ (Syarhul Muhadzab) disebutkan, boleh memberikan sebahagian korban sunnah kepada kafir dzimmi yang miskin. Tapi ketentuan ini tidak berlaku untuk korban yang wajib.” (Hasyiyah Al Baijuri 2/310)
Lajnah Daimah (Majlis Ulama’ saudi Arabia) ditanya tentang hukum memberikan daging korban kepada orang kafir.
Jawapan Lajnah:
“Kita dibolehkan memberi daging korban kepada orang kafir Mu’ahid [1] baik kerana statusnya sebagai orang miskin, kerabat, tetangga, atau kerana dalam rangka menarik simpati mereka… namun tidak dibolehkan memberikan daging korban kepada orang kafir Harb, kerana kewajipan kita kepada kafir harbi adalah merendahkan mereka dan melemahkan kekuatan mereka. Hukum ini juga berlaku untuk pemberian sedekah. Hal ini berdasarkan firman Allah, yang ertinya:
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Qs. Al Mumtahanah
Demikian pula Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah memerintahkan Asma’ binti Abu Bakr radhiallahu ‘anhu untuk menemui ibunya dengan membawa harta padahal ibunya masih musyrik.” (Fatwa Lajnah Daimah no. 1997)
Kesimpulannya, memberikan bahagian haiwan korban kepada orang kafir dibolehkan kerana status haiwan korban sama dengan sedekah atau hadiah. Dan kita diperbolehkan memberikan sedekah mahupun hadiah kepada orang kafir. Sedangkan pendapat yang melarang adalah pendapat yang tidak kuat kerana tidak berdalil.
Larangan memperjual-belikan hasil sembelihan
Tidak diperbolehkan memjual-belikan bahagian haiwan sembelihan, baik daging, kulit, kepala, bulu, tulang mahupun bahagian yang lainnya. Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu menyatakan, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan aku untuk menguruskan penyembelihan unta korbannya. Beliau juga memerintahkan saya untuk membahagikan semua kulit tubuh serta kulit punggungnya. Dan saya tidak diperbolehkan memberikan bahagian apapun darinya kepada tukang jagal.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim). Bahkan terdapat ancaman keras dalam masalah ini, sebagaimana hadis berikut:
من باع جلد أضحيته فلا أضحية له
Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Barang siapa yang menjual kulit haiwan korbannya maka ibadah korbannya tidak ada nilainya.” (HR. Al Hakim 2/390 & Al Baihaqi. Syaikh Al Albani menyatakan: Hasan)
Tetang haramnya pemilik haiwan menjual kulit korban merupakan pendapat majoriti ulama, meskipun Imam Abu Hanifah menyelisihi mereka. Namun mengingat dalil yang sangat tegas dan jelas maka pendapat siapapun mesti ditolak.
Catatan:
• Termasuk menjual-belikan bahagian haiwan korban adalah menukar kulit atau kepala dengan daging atau menjual kulit untuk kemudian dibelikan kambing. Ini kerana hakikat jual-beli adalah tukar-menukar meskipun dengan selain wang.
• Transaksi jual-beli kulit haiwan korban yang belum dibahagikan adalah transaksi yang tidak sah. Ertinya penjual tidak boleh menerima wang hasil penjualan kulit dan pembeli tidak berhak menerima kulit yang dia beli. Hal ini sebagaimana perkataan Al Baijuri: “Tidak sah jual beli (bahagian dari haiwan korban) disamping transaksi ini adalah haram.” Beliau juga menyatakan: “Jual beli kulit haiwan korban juga tidak sah kerana hadis yang diriwayatkan Hakim (baca: hadis di atas). (Fiqh Syafi’i 2/311).
• Bagi orang yang menerima kulit dibolehkan memanfaatkan kulit sesuai keinginannya, baik dijual mahupun untuk pemanfaatan lainnya, kerana ini sudah menjadi haknya. Sedangkan menjual kulit yang dilarang adalah menjual kulit sebelum dibahagikan (disedekahkan), baik yang dilakukan pihak yang menguruskan korban mahupun shohibul korban.
Nasihat & Solusi untuk masalah kulit
Satu penyakit kronis yang menimpa ibadah korban kaum muslimin bangsa kita, mereka tidak boleh lepas daripada ‘fiqh praktis’ menjual kulit atau mengupah tukang sembelih mahupun pelapah dengan kulit. Memang kita akui ini adalah jalan pintas yang paling cepat untuk melepaskan diri daripada tanggungan menguruskan kulit. Namun apakah jalan pintas cepat ini menjamin keselamatan???
Bertaqwalah kepada Allah wahai kaum muslimin… sesungguhnya ibadah korban telah diatur dengan indah dan rapi oleh Si Peletak Syari’ah. Jangan cuba-cuba untuk keluar dari peraturan ini kerana boleh jadi korban kita tidak sah. Berusahalah untuk sentiasa berjalan sesuai syari’at meskipun jalurnya ‘kelihatannya’ lebih panjang dan sedikit menyibukkan. Jangan pula terkecoh dengan pendapat sebahagian orang, baik ulama mahupun yang ngaku-ngaku ulama. Ini kerana manusia yang berhak untuk ditaati secara mutlak hanya satu iaitu Nabi kita Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Maka semua pendapat yang bertentangan dengan hadis beliau mesti dibuang jauh-jauh.
Tidak perlu bingung. Bukankah Ali bin Abi Thalib t pernah menguruskan korbannya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam yang jumlahnya 100 ekor unta?! Tapi tidak ada dalam catatan sejarah bahawa Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu bingung dalam menguruskan kulit dan kepala. Demikianlah kemudahan yang Allah berikan bagi orang yang secara penuh mengikuti aturan syari’at. Namun bagi mereka (baca: pihak pengurusan korban) yang masih merasa bingung menguruskan kulit, boleh dilakukan beberapa solusi berikut:
• Kumpulkan semua kulit, kepala, dan kaki haiwan korban. Pilih sejumlah orang miskin sebagai sasaran penerima kulit. Tidak perlu dihantar ke rumahnya, tapi cukup hubungi mereka dan sampaikan bahawa pihak pengurusan siap menjualkan kulit yang sudah menjadi hak mereka. Dengan demikian, status pihak pengurusan dalam hal ini adalah sebagai wakil bagi pemilik kulit untuk menjualkan kulit, bukan wakil dari shohibul korban dalam menjual kulit.
• Serahkan semua atau sebahagian kulit kepada yayasan islam sosial (misalnya pusat asuhan atau pondok pesantren). (Terdapat Fatwa Lajnah yang membolehkan menyerahkan bahagian haiwan korban kepada yayasan).
Larangan mengupah tukang sembelih dengan bahagian haiwan sembelihan
Dari Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu bahawa “Beliau pernah diperintahkan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam untuk menguruskan penyembelihan untanya dan agar membahagikan seluruh bahagian daripada sembelihan unta tersebut, baik yang berupa daging, kulit tubuh mahupun pelana. Dan dia tidak boleh memberikannya kepada penyembelih barang sedikitpun.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim) dan dalam lafaz lainnya beliau berkata, “Kami mengupahnya dengan wang kami pribadi.” (HR. Muslim). Dan ini merupakan pendapat majoriti ulama (lihat Shahih Fiqih Sunnah, II/379).
Syaikh Abdullah Al Bassaam menyatakan, “Tukang sembelih tidak boleh diberi daging atau kulitnya sebagai bentuk upah atas pekerjaannya. Hal ini berdasarkan kesepakatan para ulama. Yang diperbolehkan adalah memberikannya sebagai bentuk hadiah jika dia termasuk orang kaya atau sebagai sedekah jika ternyata dia adalah miskin…” (Taudhihul Ahkaam, IV/464).
Pernyataan beliau semakna dengan pernyataan Ibn Qosim yang menyatakan: “Haram menjadikan bahagian haiwan korban sebagai upah bagi tukang sembeli.” Perkataan beliau ini dikomentari oleh Al Baijuri: “Kerana hal itu (mengupah) semakna dengan jual beli. Namun jika tukang sembelih diberi bahagian dari korban dengan status sedekah bukan upah maka tidak haram.” (Hasyiyah Al Baijuri As Syafi’i 2/311).
Adapun bagi orang yang memperoleh hadiah atau sedekah daging korban diperbolehkan memanfaatkannya sekehendaknya, boleh dimakan, dijual atau yang lainnya. Akan tetapi tidak diperkenankan menjualnya kembali kepada orang yang memberi hadiah atau sedekah kepadanya (Tata Cara Korban Tuntutan Nabi, 69)
Menyembelih satu kambing untuk makan-makan organisasi? Atau pihak pnegurusan dapat bahagian khusus?
Status pihak pengurusan mahupun tukang sembeli dalam pengurusan haiwan korban adalah sebagai wakil dari shohibul korban dan bukan amil[2]. Ini kerana statusnya hanya sebagai wakil maka pihak pengurusan korban tidak diperkenankan mengambil bahagian dari haiwan korban sebagai ganti daripada jasa dalam menguruskan haiwan korban. Untuk lebih memudahkan boleh diperhatikan ilustrasi kes berikut:
Adi ingin mengirim wang RM 1 juta kepada Budi. Oleh kerana merek tidak boleh bertemu langsung langsung maka Adi mengutus Rudi untuk menghantarkan wang tersebut kepada Budi. Oleh kerana mesti ada belanja tambang dan belanja lainnya maka Adi memberikan sejumlah wang kepada Rudi. Bolehkah wang ini diambil daripada wang RM 1 juta yang akan dikirimkan kepada Budi?? Semua orang akan menjawab: “TIDAK BOLEH KERANA BERERTI IA MENGURANGKAN WANG BUDI.” Status Rudi pada kes di atas hanyalah sebagai wakil Adi. Demikian pula korban. Status pihak pengurusan hanya sebagai wakil pemilik haiwan, sehingga dia tidak boleh mengambil bahagian korban sebagai ganti daripada jasanya.
Oleh kerana itu, jika menyembelih satu kambing untuk makan-makan tukang sembelih mahupun tukang lapah, atau pengurusan dapat bahagian khusus sebagai ganti jasa dari kerja yang dilakukan pihak pengurusan maka ini tidak diperbolehkan.
Namun hal ini bukan bererti bahawa pihak pengurusan tidak mendapat bahagian daripada haiwan korban. Yang tidak boleh adalah ketika pihak pengurusan mendapatkan bahagian lebih dalam pembahagian haiwan korban, baik itu bentuknya sudah matang mahupun daging mentah, sebagai ganti daripada jasa mereka yang telah menguruskan haiwan korban. pihak pengurusan tetap mendapatkan bahagian korban namun bahagian mereka sama dengan bahagian yang diberikan kepada warga lainnya.
Agar tidak meninggalkan kekeliruan, kita perhatikan dua contoh cara pembahagian korban yang dibolehkan dan pembahagian yang terlarang, sebagai berikut:
Contoh cara pembahagian yang dibolehkan: warga desa kampung A berkorban 5 ekor lembu & 13 ekor kambing. Setelah dihitung, masing-masing kepala keluarga mendapat bahagian 2 Kg daging lembu dan ½ kg daging kambing. Semua merata tanpa memperhatikan status, baik pihak pengurusan mahupun bukan pihak pengurusan.
Contoh cara pembahagian yang terlarang 1: warga desa kampung A berkorban 5 ekor lembu & 13 ekor kambing. Setelah dihitung, masing-masing kepala keluarga mendapat bahagian 2 Kg daging lembu dan ½ Kg daging kambing. Khusus untuk pihak pengurusan mendapat bahagian tambahan masing-masing ½ Kg daging lembu sebagai ganti jasa mereka yang telah menguruskan haiwan korban. Dalam keluarga Pak Ahmad ada 4 orang yang terlibat sebagai pihak pengurusan, iaitu Pak Ahmad, Bu Ahmad, dan 2 puteranya. Sehingga keluarga Pak Ahmad mendapat bahagian 4 Kg daging lembu dan ½ Kg daging kambing. Keluarga Pak Ahmad mendapat kelebihan bahagian 2 Kg lembu kerana anggota keluarganya yang terlibat 4 orang x ½ Kg = 2 Kg.
Contoh cara pembahagian yang terlarang 2: Sebagai bentuk membalasa jasa bagi pihak pengurusan korban maka takmir mengambil 1 ekor kambing untuk disembelih sebagai jamuan makan bersama bagi pihak pengurusan. Di samping itu, pihak pengurusan juga mendapat bahagian yang sama dengan warga lainnya. Dengan demikian, pihak pengurusan mendapat tambahan bahagian pembahagian korban yang mereka jadikan sebagai menu makan bersama.

Berkorban di kawasan luar
Mengirim sejumlah wang untuk dibelikan haiwan korban di tempat tujuan (di luar daerah pemilik haiwan) dan disembelih di tempat tersebut? Atau mengirimkan haiwan hidup ke tempat lain untuk di sembelih di sana?
Pada asalnya tempat menyembelih korban adalah daerah orang yang berkorban. Ini kerana orang-orang yang miskin di daerahnya itulah yang lebih berhak. Sebahagian syafi’iyah mengharamkan mengirim haiwan korban atau wang untuk membeli haiwan korban ke tempat lain – di luar tempat tinggal shohibul korban – selama tidak ada maslahat yang menuntut hal itu, seperti penduduk tempat shohibul korban yang sudah kaya sementara penduduk tempat lain sangat memerlukan. Sebahagian ulama membolehkan secara mutlak (meskipun tidak ada tuntutan maslahat). Sebagai jalan keluar dari perbezaan pendapat, sebahagian ulama menasihatkan agar tidak mengirim haiwan korban ke selain tempat tinggalnya. Ertinya tetap disembelih di daerah shohibul korban dan yang dikirim keluar adalah dagingnya. (lih. Fatwa Syabakah Islamiyah no. 2997, 29048, dan 29843 & Shahih Fiqih Sunnah, II/380)
Kesimpulannya, berkorban dengan model seperti ini (mengirim haiwan atau wang dan bukan daging) termasuk korban yang sah namun menyelisihi sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam kerana tiga hal:
1. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat radhiallahu ‘anhu, tidak pernah mengajarkannya.
2. Hilangnya sunnah anjuran untuk disembelih sendiri oleh shohibul korban.
3. Hilangnya sunnah anjuran untuk makan bahagian dari haiwan korban.
Wallaahu waliyut taufiq.
Demikian yang boleh kami sajikan. Sebagai pelengkap kami sarankan untuk membaca buku: Tata Cara Korban Tuntutan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam yang diterjemahkan Ustadz Aris Munandar hafizhahullah dari ringkasan Kitab Ahkaam Udh-hiyah wadz Dzakaah karya Syaikh Al Uthaimin rahimahullah. Semoga risalah yang ringkas sebagai pelengkap untuk tulisan saudaraku Abu Muslih hafizhahullah ini bermanfaat dan menjadi amal yang diterima oleh Allah ta’ala, sesungguhnya Dia Maha Pemurah lagi Maha Mulia. Selawat dan salam semoga terlimpah kepada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam, serta seluruh pengikut beliau yang setia. Alhamdulillaahi Rabbil ‘aalamiin.

Footnote:
[1] Kafir Mu’ahid: orang kafir yang mengikat perjanjian damai dengan kaum muslimin. Termasuk orang kafir mu’ahid adalah orang kafir yang masuk ke negeri islam dengan izin resmi dari pemerintah. Kafir Harby: orang kafir yang memerangi kaum muslimin. Kafir Dzimmi: orang kafir yang hidup di bawah kekuasaan kaum muslimin.
[2] Sebahagian orang menyamakan status pihak pengurusan korban sebagaimana status amil dalam zakat. Bahkan mereka meyebut pihak pengurusan korban dengan ‘amil korban’. Akibatnya mereka beranggapan pihak pengurusan memiliki bahagian khusus dari haiwan korban sebagaimana amil zakat memiliki bahagian khusus dari harta zakat.
Yang benar, amil zakat tidaklah sama dengan pihak pengurusan pengurus korban. Ini kerana untuk boleh disebut amil, mesti memenuhi beberapa persyaratan. Sementara pengurus korban hanya sebatas wakil dari shohibul korban, sebagaimana status sahabat Ali radhiallahu ‘anhu dalam menguruskan korban Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Dan tidak ada riwayat Ali radhiallahu ‘anhu mendapat bahagian khusus dari korbannya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | iFreeCellPhones.com offers free mobile phones. | Thanks to PalmPreBlog.com, Facebook Games and Fettverbrennungsofen