PENGENALAN KEPADA SYARIAH DAN PERUNDANGAN ISLAM

Muqaddimah

Islam diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada nur. Manusia dilantik menjadi khalifah dan tanggungjawab melaksanakan segala perintah Allah adalah merupakan satu perjanjian yang telah dimeterai diantara manusia dan Allah s.w.t. seperti mana dalam firmanNya:

… أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا …

Maksudnya: … “Bukankah Aku Tuhan kamu?” mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi”…

[Al-A’raf: 172]

Kesempurnaan iman dan tauhid seseorang itu kepada Allah s.w.t. akan hanya berlaku apabila dia telah meyakini bahawa sesungguhnya Allah itu mencipta, memiliki dan menguasai segala yang ada di alam ini dan Dialah pula yang wajib disembah, ditaati dan diikuti segala arahanNya dalam menjalani urusan hidup samada sebagai individu, ahli masyarakat, institusi ataupun sebuah sistem. Selagi mana penyerahan diri terhadap segala perintah Allah s.w.t. belum berlaku, maka selagi itulah kesempurnaan Iman dan Islam seseorang masih lagi belum sampai ketahap seperti yang diarahkan oleh Syara’.

Dalam menjalani kehidupan di dunia sebagai khalifah, manusia telah diutuskan dengan para Rasul untk memandu perjalanan hidup mereka agar bertepatan dengan peraturan dan arahan yang telah ditetapkan Allah s.w.t. Panduan ini adalah penting untuk menjawab sebarang kekeliruan yang timbul dalam proses perjalanan hidup manusia.

Salah satu kekeliruan yang begitu ketara pada hari ini adalah salah tanggap terhadap sistem syariah dan perundangan Islam yang asalnya menghantui orang-orang bukan Islam tetapi hari ini menjadi wabak pula di kalangan sebahagian umat Islam sendiri. Pelbagai tuduhan dan cercaan telah dilakukan terhadap undang-undang Islam. Ada yang mengatakan bahawa sistem perundangan Islam sudah tidak sesuai lagi dilaksanakan sekarang ini kerana zaman Nabi sudah tidak sama dengan zaman sekarang. Ada yang mengatakan bahawa sistem ini jumud (statik) dan tidak menjawab persoalan semasa umat yang sentiasa berkembang. Ada pula yang menyatakan bahawa sistem ini terlalu zalim kerana hukuman yang dikenakan ke atas pesalah melibatkan anggota, penganiyaan dan sebagainya. Walau apa pun tuduhan dan tohmahan yang diberikan terhadap sisem perundangan Islam, ianya akan tetap kekal sebagai sistem yang terunggul kerana ianya adalah dari Allah s.w.t. yang Maha Sempurna dan tidak mensyariatkan kepada manusia melainkan yang terbaik.

Sistem perundangan Islam merangkumi setiap bidang kehidupan manusia. Ianya adalah gabungan antara undang-undang sebagai alat kawalan sosial dan ikatan iman dan penyerahan diri kepada kuasa mutlak Allah s.w.t.. Konsep ini amat berbeza dengan konsep undang-undang sekular atau undang-undang lain ciptaan manusia yang mewujudkan pemisahan antara unsur-unsur agama dan undang-undang. Agama hanya dilihat sebagai ritual dalam majlis dan tempat tertentu sahaja dan tidak ada kaitan dengan kehidupan.

Antara tujuan utama sistem syariah dan perundangan Islam adalah untuk memelihara lima perkara yang merupakan satu kemestian di dalam kehidupan mereka. Prinsip yang dikenali sebagai al dharuruyaat al khamsa ini adalah untuk:

1.
Memelihara Al Deen (Agama)
2.
Memelihara Al ‘Aqal (Akal)
3.
Memelihara Al Nafs (Jiwa / Nafsu)
4.
Memelihara Al ‘Ard ( Keturunan dan juga kehormatan )
5.
Memelihara Al Mal (Harta)

Perkembangan sistem Perundangan Islam adalah tidak sama dengan perkembangan sistem perundangan ciptaan manusia. Syariah bukannya merupakan satu himpunan kaedah yang sedikit dan kemudiannya berkembang mengikut peredaran masa. Ianya juga bukan merupakan asas asas yang bertaburan lalu disusun rapi dan bukan juga ianya merupakan teori-teori yang kemudiannya dikelompokkan untuk dijadikan satu formula yang diikuti. Syariah tidak lahir sebagai seorang bayi yang lemah dan serba kekurangan tetapi telah lahir ke bumi sebagai seorang pemuda yang cukup dewasa, matang dan serba lengkap tanpa sebarang kecacatan dan kekurangan. Berdasarkan kepada kenyataan ini dapatlah difahami bahawa Syariah yang diwayhukan Allah ini adalah sempurna lagi lengkap tanpa perlu dipersoalkan lagi kemampuannya untuk memandu perjalanaan hidup manusia dan alam. Abdul Qadir Audah telah mengulas lagi bahawa asal sistem perundangan hanyalah sekadar mengatur perjalanan hidup manusia bermasyarakat tetapi tidak berperanan untuk memandu masyarakat tersebut ke arah satu matlamat. Inilah sebabnya mengapa undang-undang datang dan terbentuk selepas terbentuk perkembangan masyarakat. Undang-undang adalah hasil ciptaan ramai dan bukan sebaliknya.

Takrif Syariah dan Fiqh

Dua kalimat yang sering digunakan untuk undang-undang Islam adalah kalimat fiqh dan syariah. Perbincangan tentang dua kalimah ini telah berlangsung untuk sekian lama tetapi penulis sendiri merasakan adalah lebih relevan sekarang ini untuk digunakan kalimat fiqh untuk dirujukan kepada undang-undang Islam.

Dalam pengajian Islam syariah biasanya disamaertikan dengan agama atau adDin. Ia mengertikan apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah untuk para hambanya baik tentang akidah, ibadat, akhlak , mu’ammalat dan apa saja tata hidup di dunia ini. Dengan perkataan lain, ia adalah keseluruhan wahyu Tuhan sebagaimana yang terdapat dalam Al Quran dan Al Sunnah. Hukum pula lebih merujuk kepada nilai-nilai yang difahami dari Syariah. Sebab itu, dalam pengajian hukum Islam, hukum disebut berasaskan konteks tertentu. Menurut para fuqaha, hukum ialah arahan (khitab) Allah berkenaan dengan tindak -tanduk manusia. Satu istilah lain yang ada kaitan rapat dengan syariah dan hukum ialah fiqh. Dalam penggunaan biasa ia bererti pemahaman tentang apa sahaja, samada secara mendalam atau sebaliknya. Di zaman permulaan Islam fiqh diistilahkan bagi memahami apa saja isi syariah. Tapi selepas berlakunya pertumbuhan ilmu yang sangat pesat dalam masyarakat Islam yang kemudiannya melahirkan bidang-bidang pengkhususan dalam bidang-bidang pengajian iaitu di zaman pemerintahan Abbasiyah, fiqh telah dikhususkan bagi pengertian memahami hukum-hukum amali semata. Maksud hukum amali di sini ialah ketentuan berhubung tindak tanduk manusia.

Fiqh dari seginya bahasanya adalah faham dan dari sudut istilah pula adalah memahami hukum-hukum syariah yang berbentuk amali yang diambil dari dalil-dalil yang tafsili iaitu AlQuran dan Alsunnah dan segala furu’ (cabang)nya.

1.
Hukum -hukum Syariah yang berbentuk amali tersebut merangkumi segenap aspek kehidupan manusia. Pembahagian hukum-hukum fiqh adalah seperti berikut.
2.
Hukum hukum yang berkaitan dengan ibadat seperti solah, puasa dan sebagainya yang dikenali sebagai ibadat (Fiqh al Ibadat)
3.
Hukum-hukum yang berkaitan dengan kekeluargaan seperti hukum nikah, talak nafkah dan sebagainya yang dikenali hari ini sebagai ahwal syaksiah.
4.
Hukum-hukum urusan harian manusia yang berkaitan dengan harta, hak dan sebagainya yang dikenali sebagai muammalat.
5.
Hukum-hukum yang berkaitan dengan pemerintahan, hak rakyat kepada negara dan juga sebaliknya yang dikenali sebagai ahkam sultaniyah.
6.
Hukum hukum yang berkaitan dengan jenayah dan balasannya yang dikenali sebagai ‘uqubat.
7.
Hukum-hukum yang berkaitan dengan hubungan antarabangsa yang dikenali sebagai huquq al daulah / qanun dauli.
8.
Hukum-hukum yang berkaitan dengan akhlak dan berkelakukan baik yang dikenali sebagai adab.

Pembahagian ini bagaimana pun akan berkembang mengikut perkembangan masa, keadaaan dan tempat. Maka itu kalau diteliti dari penulisan para fuqaha kita akan dapati perbincangan juga merangkumi aspek-aspek undang-undang seperti undang-undang harta intelek, undang-undang alam sekitar dan lain-lain cabang yang cukup luas.

Dari apa yang dilihat di atas dapatlah dirumuskan bahawa sistem perundangan Islam adalah gabungan sistem kerohanian dan sistem kemasyarakatan kerana syariah Islam turun untuk mengatur dunia dan deen. Ianya adalah merupakan sistem yang sempurna lagi lengkap bagi mengatur kehidupan manusia. Syariah adalah merupakan keseluruhan ajaran Islam yang terkandung di didalamnya perintah aqidah, fiqh dan akhlak. Mereka yang beriman dengan Islam telah diperintah Allah swt untuk tidak memisahkan diri mereka dengan satu juzu’ pun daripada keseluruhan perintah tersebut Allah swt telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata.

[Al-Baqarah: 208]

Setelah kita meneliti takrif di atas, adalah jelas bahawa fiqh adalah sebahagian dari syariah dan ianya adalah berkaitan dengan urusan amali dalam kehidupan manusia. Tetapi ini tidaklah bermakna ianya tidak berkait dengan cabang-cabang lain yang terkandung di dalam syariah. Di sana terdapat banyak dalil-dalil Al Quran yang menggabungkan antara fiqh dan keseluruhan sistem syariah seperti firman Allah swt:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ …

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) Iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, …

[Al-Maidah: 6]

Ayat ini dengan jelas telah menggabungkan ciri seorang yang beriman itu yang bersih dan suci ketika hendak beribadat kepada Allah SWT dan ini adalah gabungan antara iman dan fiqh (ibadat).

Konsep ini adalah amat jauh berbeza dengan kefahaman terhadap undang-undang di dalam sistem sekular yang memisahkan antara undang-undang dan ketuhanan. Tidak hairanlah jika Hugo Grotius, seorang Belanda yang dianggap sebagai bapa sistem perundangan antarabangsa moden pernah menyebut bahawa ‘natural law’ pasti akan wujud walaupun sekiranya tuhan itu sendiri tidak wujud. Dia seterusnya berpendapat bahawa sistem ‘natural law’ adalah merupakan satu kelahiran secara spontan hasil dari kesedaran manusia untuk mengawal sistem sosial mereka.

Penutup

Takrif yang ringkas tentang undang-undang Islam ini adalah bertujuan untuk memberi satu gambaran secara umum tentang kesempurnaan sistem yang datang dari Allah itu. Tugas kita hari ni adalah untuk meletakkan keyakinan sepenuhnya terhadap Syariah yang mampu menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi manusia.

Oleh,

Ustaz Nasharuddin Mat Isa

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | iFreeCellPhones.com offers free mobile phones. | Thanks to PalmPreBlog.com, Facebook Games and Fettverbrennungsofen