Perkembangan Internet di Malaysia bermula pada tahun 1983 apabila netizen Malaysia yang pertama iaitu Dr. Mohamed Awang-Lah (salah seorang ahli Lembaga Pengarah OUM) memulakan idea untuk menghubungkan Malaysia dengan dunia menerusi Internet di makmal Universiti Malaya. Pada ketika itu, beliau merupakan ahli akademik Fakulti Elektrikal/Elektronik di Universiti Malaya. Dr. Mohamed Awang-Lah telah membuat hubungan Internet yang sama di akhir tahun 1984 ketika beliau ditempatkan di MIMOS.(Malaysian Institute of Microelectronic System). Penubuhan MIMOS oleh kerajaan menyediakan peluang kepada warga Malaysia yang cerdik IT untuk menghasilkan hubungan Internet yang lebih baik.
Pada tahun 1989, Rangkaian Komputer Malaysia (RangKoM) dengan kemudahan sambungan antarabangsa telah ditubuhkan oleh Dr. Mohamed Awang-Lah. Universiti-universiti tempatan merupakan pengguna RangKoM pada peringkat awal. Ianya terus berkembang dengan sokongan dan perhatian dari pihak swasta. Tumpuan awal penggunaan RangKoM ialah pada mel dan forum elektronik, walaupun ia mempunyai
keupayaan komunikasi dan perkongsian sumber. Projek RangKoM bukan sahaja memberi pengalaman dari segi pembangunan teknologi, malah ia juga mendedahkan beberapa kelemahan, kekurangan dan juga potensi penggunaan teknologi rangkaian komunikasi dan isu-isu pengurusan yang berkaitan dengannya.
Berdasarkan kepada pengalaman ini, program JARING (Joint Advanced Integrated Networking) telah dirumuskan, dan ianya dilancarkan pada tahun 1991 yang bertujuan untuk membangunkan rangkaian komunikasi negara secara bersepadu dan lebih menyeluruh. Secara praktiknya, segala kegiatan dan pengalaman projek RangKoM telah diserapkan ke dalam projek JARING. MIMOS mengendalikan projek rangkaian JARING sebagai projek pembangunan utama dalam Rancangan Malaysia KeEnam. JARING yang dihubungkan dengan banyak institusi penyelidikan dan akademik, serta agensi kerajaan dan swasta di Malaysia, bermatlamatkan terutamanya untuk menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan dan komersial. JARING juga dihubungkan kepada rangkaian Internet antarabangsa. Talian litar suwa antarabangsa berkelajuan 64Kbps ke Amerika Syarikat telah beroperasi mulai 14hb. Nov. 1992. Talian suwa ini menggantikan talian X.25 awam dan dail yang tidak lagi efektif dari segi kos setelah meningkatnya bilangan pengguna dan tahap penggunaan JARING. Pada 29hb. Nov. 1994, keupayaan JARING dipertingkatkan kepada 1.5Mbps yang merupakan 24 kali ganda lebih pantas berbanding dengan talian 64Kbps. Keupayaan JARING ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi gentian optik selaras dengan pertambahan dalam bilangan keahlian.
Pada bulan Jun 1994, JARING bergerak dengan lebih cemerlang lagi dan Internet boleh diakses melalui nodnya yang ditempatkan di seluruh negara. Nod JARING pada masa tersebut ditempatkan di 16 buah bandar utama di Malaysia, iaitu di Damansara, Petaling Jaya, Shah Alam, Bangi, Melaka, Seri Gading, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Setar, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, dan Kuala Lumpur. Ini membolehkan lebih ramai pengguna mencapai JARING/Internet dengan panggilan telefon tempatan. Rangkaian JARING turut boleh dimanfaatkan oleh pengguna dari Singapura, Brunei, dan Thailand.
Dari segi perkembangan keahlian JARING/Internet pula, sebanyak 29 organisasi dan jabatan kerajaan telah menjadi ahli pada awal tahun 1992. Lebih 200 pelanggan dalam negara menggunakan kemudahan ini pada akhir tahun 1992. Keahlian JARING dikategorikan kepada pelajar, orang perseorangan dan organisasi. Orang perseorangan dan pelajar hanya boleh mengakses Internet melalui talian dail sahaja, sementara
organisasi boleh mengakses melalui talian dail atau litar suwa. Keahlian JARING di sepanjang tahun 1994 meningkat kepada 1,693 ahli individu dan 254 syarikat. Dalam tahun 1995 pula, JARING ditingkatkan keupayaan bagi menampung pertambahan keahlian dan penggunaan serta mengurangkan kesesakan aliran trafik. Tumpuan utama ialah mengukuhkan prasarana tulang belakang JARING melalui tambahan nod, talian di antara nod, dan peningkatan kelajuan beberapa talian suwa serta bilangan talian dail. Dalam tahun 1995 juga talian yang menghubungkan nod-nod di Pulau Pinang dan Johor Bahru telah ditingkatkan kelajuannya dari 64Kbps kepada 2.048Mbps. Sehingga akhir tahun 1995, lebih 1,000 talian untuk pengguna talian dail telah disediakan. Sebanyak 40 nod baru telah dipasang dalam tahun 1996 sebagai tambahan kepada 21 nod pada tahun sebelumnya.
Tahun 1995 juga menyaksikan pemasangan sambungan kedua ke Internet antarabangsa. Sambungan tetap yang berkelajuan tinggi pada kadar 2.048Mbps (E1) berfungsi serentak dengan sambungan 1.536Mbps (T1) sebelumnya. Kehadiran E1 disamping T1 berupaya menampung penggunaan yang semakin bertambah.
Sepanjang tahun 1995 pertumbuhan peningkatan keahlian JARING bertambah pada kadar purata 22% sebulan. Melalui Rancangan Malaysia Ke-9, kerajaan telah melaksanakan projek Superstruktur Maklumat Negara yang menggunakan JARING sebagai prasarana tulang belakang. Untuk membuka peluang yang lebih luas kepada umum, JARING telah memeteraikan Memorandum Persefahaman (MOU) dengan beberapa syarikat Pembekal Perkhidmatan Akses JARING (JASP) pada 1 Ogos 1996. Ia memudahkan orang ramai mendapat khidmat sokongan bagi mengakses Internet.
Seterusnya, pada tanggal 9 November 1996 JARING telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Asia Internet Holding (AIH) dari Jepun bagi mempertingkatkan perkhidmatan Internet untuk pengguna tempatan dan Asia Pasifik. Rangkaian yang dinamakan JARING-A-Bone ini memudahkan pengguna Internet menghubungi laman web di rantau Asia. Hubungan tersebut menyediakan akses lebih cepat dan secara terus
bagi pengguna kepada negara-negara Asia yang dihubungkan dengan A-Bone. Pada bulan Mei 1999, JARING mula menawarkan perkhidmatan perayauan antarabangsa yang meliputi lebih 150 negara.
Pada 11 Jun 1999, JARING menempa sejarah dengan pemasangan talian antarabangsa berkelajuan 45Mbps yang merupakan talian pertama seumpamanya di rantau ini (di luar Jepun). Talian ini dipasang mengambil sempena persidangan Internet terbesar di Asia, INET 99. Selanjutnya pada akhir tahun 1999, jumlah keahlian JARING meningkat melebihi 100,000 orang dengan jumlah pengguna dianggarkan melebihi 300,000 orang. Bagi menampung pengguna yang semakin meningkat dan semakin memerlukan perkhidmatan terbaik, maka pada 1 November 1996, Telekom Malaysia Berhad telah memulakan perkhidmatan TMNet, sebagai Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) kedua Malaysia setelah mendapat lesen daripada pihak kerajaan. Sehingga akhir 2000, di antara syarikat-syarikat lain yang turut menyediakan perkhidmatan ISP di Malaysia ialah Maxis Communications Berhad, DiGi Telecommunications Sdn Bhd. dan Time dotCom
Berhad.
Penggunaan Internet dijangka akan terus berkembang dengan cepatnya sebagai media komunikasi multimedia utama dunia pada alaf ke 21 ini. Cabaran utama kita semua ialah untuk menyediakan masyarakat Malaysia agar sentiasa bersedia menggunakan teknologi Internet sepenuhnya di samping mengenali batasannya. Kita amat bertuah kerana telah dapat mengenalpasti potensi Internet lebih 10 tahun dahulu dan telah mengambil langkah sewajarnya bagi membina prasarana Internet ke tahap yang jauh lebih maju berbanding dengan negara lain di rantau ini.