Batal Wuduk atau Tidak?

Muqaddimah: Bersalam atau menyentuh perempuan ajnabi (bukan mahram; keluarga terdekat yang haram dinikahi dan isteri) dengan sengaja adalah satu perbuatan yang haram. Demikian juga seorang perempuan menyentuh lelaki ajnabi, ini berdasarkan sabda Nabi saw:

Maksudnya: “Kalau dicucuk dengan jarum dikepala salah seorang dari kamu adalah lebih baik daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal baginya”. [HR At-Tabarani 20/212, Sahih Al-Jami’ No. 4921] Masalah yang akan dibincangkan ialah apabila tersentuh perempuan ajnabi secara tidak sengaja atau menyentuh isteri sendiri, adakah batal wudhu’ atau tidak?

Terdapat beberapa pandangan para ulama’ tentang permasalahan ini. Ibnu Al-Munzir menyebut di dalam kitabnya (Al-Ausat) lima pendapat, tetapi yang masyhurnya adalah tiga:

1) Pendapat pertama: Pertemuan/sentuhan diantara kulit lelaki dan perempuan yang ajnabi (sah dinikahi) atau isteri akan membatalkan wudhu’, sama ada dengan syahwat atau tidak, sengaja atau tidak.

Tetapi tidak batal jika berlapik walaupun dengan sesuatu yang nipis. Ini adalah pandangan Ibnu Masud, Ibnu Umar م . mazhab Syafei, mazhab Az-Zuhri, ‘Ata’ bin As-Sa’ib, Al-Auza’ie dan lain-lain . Dalil dan hujah mereka; firman Allah:[أو لامستم النساء]

Maksudnya: “… atau jika kamu menyentuh perempuan”. [An-Nisa’: 43].Mereka berhujah bahawa yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah: “Al-Lams” iaitu sentuhan.

Hakikatnya sentuhan dari segi bahasa ialah menyentuh dengan tangan. Juga telah disabitkan bahawa Ibnu Umar menafsirkan ayat ini sedemikian. Kata Ibnu Umar:

Maksudnya: “Kucupan seorang lelaki terhadap isterinya, menyentuhnya dengan tangan adalah dikira “mulamasah”, oleh itu sesiapa yang mengucup atau menyentuh isterinya dengan tangan maka hendaklah dia mengambil wudhu.” [Riwayat Imam Malik di dalam Al-Muwatta’].

Maka Imam Syafei menyatakan jika sesiapa yang menyentuh dengan tangannya perempuan yang sah dinikahinya, maka terbatal wudhu’ dengan sebab itu. [Al-Umm: 1/63].

Manakala tentang hadis-hadis yang digunakan oleh pendapat kedua dan ketiga (ada di bawah ini), mazhab Syafei menafsirkan samada sentuhan itu berlaku dengan berlapik ataupun khusus untuk Rasulullah saw sahaja.

2) Pendapat kedua: Tidak terbatal wudhu’ dengan menyentuh perempuan, sama ada dengan syahwat atau tidak. Ini adalah pendapat Ibnu Abbas dan Ali bin Abi Talib ra yang menafsirkan firman Allah Ta’ala: “Al-Lams” itu maksudnya bersetubuh atau jimak, bukan sekadar bersentuh seperti pendapat kumpulan pertama tadi. Ini juga pendapat yang diriwayatkan daripada Thawus, Al-Hasan, ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Sufyan Ath-Thauri.

Mazhab Hanafi serta satu riwayat dari Imam Ahmad juga berpendapat walaupun menyentuh dengan syahwat tidak terbatal wudhu’, kecuali dengan berjimak.

Dalilnya:

1) Ummul Mukminin Aisyah ra. berkata: Maksudnya: “Pada suatu ketika saya tidur di hadapan Rasulullah saw yang sedang bersolat dan dua kaki saya di arah kiblatnya. Apabila Baginda bersujud (tangannya) mengenai (kaki) saya, lalu saya menarik kaki saya, (sedangkan Nabi meneruskan solatnya). Apabila Baginda bangun saya pun menghulurkan semula kaki saya. Kata Sayyidatina Aishah ra. lagi: “Dan rumah-rumah pada masa itu tidak berlampu”. [HR Al-Bukhari : 382] .

2) Begitu juga sebaliknya, jika seorang perempuan menyentuh kulit lelaki, tidak batal wudhu’nya, sebagaimana riwayat daripada Aisyah ra. Maksudnya: “Pada suatu malam, Rasulullah saw berenggang daripada saya, maka saya pun mencari beliau dengan tangan saya, tiba-tiba tangan saya tersentuh dua telapak kaki Baginda ketika Baginda sedang sujud”. [HR Muslim: 486].

3) Aisyah ra. juga meriwayatkan: Maksudnya: “Rasulullah saw sedang bersolat manakala aku tidur di arah kiblatnya seperti jenazah. Apabila Baginda ingin bersolat witir, disentuhnya aku dengan kakinya.” [HR Ahmad: 6/260, An-Nasa’ei: 166. Sahih.]

4) Aishah ra. juga meriwayatkan: Maksudnya: “Rasulullah saw mengucup salah seorang isteri Baginda, kemudian keluar menunaikan solat, sedangkan Baginda tidak pula mengambil wudhu”. [H.R Ahmad No. 25766, Abu Daud: 179. Sebahagian ulama’ (Al-Albani) mengatakan hadis ini sahih, tetapi ramai juga yang mengatakan hadis ini dhaif].

Para ulama’ di kala menghuraikan hadis ini mengatakan: “Ini juga merupakan satu dalil bahawa menyentuh perempuan itu tidaklah membatalkan wudhu’; kerana sesungguhnya perbuatan mengucup itu adalah termasuk menyentuh, sedangkan Nabi saw tidak pula memperbaharui wudhu’nya sebagai akibat perbuatannya itu. Ini adalah fahaman yang dipegang oleh Ibnu Abbas ra..”.

Kekuatan dalil mereka ini adalah kerana pada asasnya bersentuh adalah tidak batal wudhu’, dan tidak terdapat pula dalil-dalil yang sahih dan jelas bagi mereka yang mendakwa terdapat perbezaan di antara sentuhan dengan syahwat dan sentuhan tanpa syahwat.

3) Pendapat ketiga: Bersyarat, iaitu terbatal wudhu’ jika menyentuh dengan syahwat, tetapi jika tanpa syahwat, tidak akan terbatal wudhu’. Ini adalah pendapat mazhab Hanbali, Maliki dan ahli feqah (fuqaha’) penduduk Madinah. Pendapat ini juga berdasarkan hadis-hadis Ummul Mukminin Aisyah ra. di atas tadi. Nyata bagi mereka setakat menyentuh saja (tanpa syahwat) tidaklah membatalkan wudhu’.

Perkataan “Ghamazni” dan “Massani birijli” itu adalah dimaklumi bahawa persentuhan sedemikian adalah tanpa keinginan syahwat. Kerana itulah sumber ini digunakan sebagai dalil bahawa menyentuh tanpa syahwat itu tidak membatalkan wudhu’. Pengarang kitab “Al-Mughni” (1/256) mengatakan: “Sesungguhnya dengan hanya menyentuh semata-mata belumlah menghadaskan seseorang, kerana yang menjadikan seseorang itu berhadas ialah dengan keluarnya air mazi atau air mani, iaitu apabila berlakunya keinginan syahwat”.

Kesimpulan: Perbandingan antara mazhab ini menunjukkan bahawa hanya mazhab Syafei sahaja yang agak berat dalam masalah ini, di mana hanya bersentuhan sahaja (samada sengaja atau tidak) telah membatalkan wudhu’. Sedangkan Imam-imam mazhab lain lebih ringan dan terbuka.

Mazhab Hanafi berpendapat maksud bersentuh itu dengan bersetubuh. Manakala Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal pula mengatakan sentuhan yang membatalkan wudhu’ ialah yang menimbulkan keinginan syahwat.

Maka pendapat yang rajih (kuat) ialah pendapat jumhur yang mengatakan tidak batal wudhu’ dengan sebab menyentuh perempuan sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh Abdullah Ibnu Abbas ra (Turjuman Al-Quran dan Habrul Ummah) dan Ali bin Abi Talib ra yang menafsirkan firman Allah Ta’ala: “Au Laamastum”, “Al-Lams” itu maksudnya bersetubuh atau jimak, bukan sekadar bersentuh. [Lihat Tafsir Ibnu Kathir].

Adapun dakwaan bahawa sentuhan di antara Rasulullah saw dan Aisyah adalah dengan berlapik atau hanya khusus untuk Rasulullah sahaja, ramai ulama’ mengatakan bahawa dakwaan tersebut tidak mempunyai dalil yang jelas atau bukti yang menunjukkan sentuhan itu adalah berlapik. Kata ulama’: “Satu hukum yang amat perlu diketahui oleh umat pasti dijelaskan oleh Rasulullah saw walaupun secara umum kemudian dinukil oleh generasi umat ini…

Dengan ini diketahui bahawa tidak wajib mengambil wudhu’ kerana bersentuh dengan perempuan… kerana seseorang itu sentiasa tersentuh isterinya dengan syahwat atau tidak, kemudian tidak ada pula riwayat yang menjelaskan bahawa Rasulullah saw mengarahkan agar mengambil wudhu’ kerananya. Al-Quran pula tidak menunjukkan maksud sedemikian, bahkan apa yang dikehendaki dengan mulamasah ialah jima’”. [At-Tarjih 73-74] Namun bagi mereka yang menyentuh dengan syahwat, adalah lebih baik baginya untuk memperbaharui semula wudhu’nya, sebagaimana yang disarankan oleh sebahagian ulama’.

RABI’AH AL ADAWIYAH, TOKOH SUFI WANITA UNGGUL

Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.

Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.

Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.

Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.

Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.

Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:

“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!

“Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.

“Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.

“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”

Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:

“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”

Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:

“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”

Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:

“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”

Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.

Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:

“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”

Antara syairnya yang masyhur berbunyi:

“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”

Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:

“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”

Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.

“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!

Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”

Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:

“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”

Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.

Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.

Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.

GASTRIK……

Seseorang yang menghidap penyakit gastrik atau dalam istilah perubatan disebut ‘Penyakit Peptik Ulser’, sering mengalami pedih ulu hati.

Ia kerap berlaku dalam keadaan perut yang kosong, terutama pada waktu lewat malam atau awal pagi.

Kepedihan yang dialami oleh penghidap penyakit peptik ulser ini berbeza, tetapi berada dalam lingkungan sakit sedikit hingga kepada sakit yang teruk berdasarkan tahap penyakit yang dihidapi. Biasanya, apabila rasa pedih ulu hati menyerang, kebanyakan pesakit akan segera makan atau meminum sesuatu seperti susu atau makanan lain untuk melegakan kepedihan ini.

Seperti yang saudara katakan, apabila muntah saudara akan berasa lega. Sebenarnya, muntah juga membantu untuk melegakan rasa kepedihan.

Selain pedih ulu hati, kadangkala pesakit gastrik berasa sebu pada bahagian atas perut. Mereka juga sering mengalami jeluak dan sedawa. Ada juga kes yang dikategorikan sebagai teruk, pesakit akan buang air besar cair.

Penyakit peptik ulser adalah sekumpulan penyakit yang disebabkan oleh asid di dalam sistem penghadaman perut. Ia merangkumi penyakit ‘Duodenal ulser’, ‘Gastric ulser’ dan ‘Refluks Oesophagitis’.

Ia berpunca daripada asid yang merosakkan dinding perut. Sebahagian daripada pesakit gastrik ini mempunyai kuman ‘Helicobacter pylori’ dalam perut mereka, yang bertindak melemahkan ketahanan dinding perut daripada ancaman asid.

Komplikasi yang mungkin berlaku kepada pesakit peptik ulser atau gastrik termasuklah pendarahan, kebocoran dinding perut dan stenosis iaitu perut sumbat. Semua komplikasi ini dikategorikan sebagai teruk dan boleh mengancam nyawa.

Sekiranya seseorang itu mempunyai tanda penyakit gastrik adalah baik bagi mereka mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan doktor.
oleh: Dr Jamaludin Yusak, Pakar Bedah Am Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC)

KUMPULAN HADIS QUDSI

[HQ.1.1] …. Aku bertanya kepada Hudzaifah tentang Ikhlas, apakah dia ? Jawabnya: Aku sudah bertanya kepada Rasulullah Saw. tentang ikhlas, apakah dia ? Beliau Saw. bersabda: “Aku sudah bertanya kepada Jibril. Jawabnya, Aku sudah bertanya kepada Tuhan Keagungan tentang Ikhlas, apakah dia. Allah berfirman:
Salah satu rahasia dari rahasia-Ku, Aku mempercayakannya kepada qalb siapa yang Aku cintai dari antara hamba-hamba-Ku.”
[IA32]

[HQ.1.2] Berkata Abu Hurairah dan juga Abu Umamah ra.: Bahwasanya Nabi saw. telah bersabda: “Allah berfirman:
Apabila Allah menjadikan ’aql, lalu berkata kepadanya: Mari hai ’aql ! Maka mendatanglah ia. Lalu Allah berkata kepadanya lagi: Pergilah hai ’aql ! Maka pergilah ia. Kemudian Dia berfirman : Aku tiada mencipta sesuatu ciptaan yang lebih Kucintai daripada kau. Aku akan mengambil dengan engkau kau dan dengan engkau pula Aku memberi.”
[HR Thabarani] [AS269]
Dalam riwayat lain, selanjutnya Allah bertanya kepada `aql, ”Siapakah Aku…..?” `Aql-pun menjawab, ”Engkau adalah Allah, yang tiada Tuhan selain Engkau. Hanya kepada-Mu-lah aku bersyukur serta patuh dan taat. Engkaulah yang memberi ganjaran dan yang menghitung amal setiap orang.”

[HQ.1.3] … Imam Abi Ja’far berkata:
Ketika Allah menciptakan ’aql Dia memanggil ’aql itu dan ’aql pun datang. Dia menyuruh ‘aql pergi maka pergilah ia. Kemudian Allah berfirman kepada ‘aql: ”Demi Kebesaran dan Kemuliaan Ku, Aku tidak menciptakan sesuatu makhluk yang lebih Aku sayangi daripada kamu dan tidak Aku sempurnakan engkau melainkan pada orang-orang yang Aku cintai. Kepadamulah Aku akan menyuruh, melarang, menyiksa serta memberi pahala”.
[sumber : Telaah ’aql dalam hadis-hadis al Kafi, terjemah Kitab Hadis Ahlul Bayt (Ushul Kafi) bab ‘aql dan jahl – Husein al Habsyi hal. 43]

[HQ.1.4]….. Orang bertanya kepada Rasulullah saw., ”Wahai Rasulullah ! Dimanakah Allah ? Di bumi atau di langit ?” Rasulullah saw. menjawab, ”Allah Ta’ala berfirman:
Tidak termuat AKU oleh bumi-Ku dan lelangit-KU dan termuat Aku oleh qalb hamba-hamba-Ku yang mu’min, yang lemah-lembut, yang tenang tenteram.
[ dalam keterangan lain : ]
Sesungguhnya semua petala langit dan bumi akan menjadi sempit untuk merangkul-Ku akan tetapi Aku mudah untuk direngkuh oleh qalb seorang mukmin.
Berkata Wahab bin Munabbih, bahwasanya Rasulullah Saw. bersabda: “Allah Ta’ala telah berfirman:
Sesungguhnya semua petala langit-Ku dan bumi-Ku menjadi sempit untuk merangkul-Ku, akan tetapi Aku mudah untuk dirangkul oleh qalb hamba-Ku yang mu’min.”
[HR Ahmad] [AS32]

[HQ.1.5] Rasulullah saw bersabda: “Allah Swt. telah berfirman:
Tiada seorang hamba yang ber-taqorrub [mendekatkan diri] kepada-KU seperti dia menunaikan segala ke-fardhu-an-Ku ke atas dirinya. Dan sesungguhnya dia akan mendekatkan diri kepada-Ku dengan memperbanyak nawafil (sunnah) sehingga AKU mencintainya. Maka apabila sudah AKU mencintainya jadilah AKU umpama kaki yang ia berjalan dengannya dan tangan yang ia memukul dengannya dan lidah yang ia berucap dengannya dan hati yang ia berfikir dengannya. Dan apabila ia memohon-Ku niscaya AKU akan memberinya dan apabila dia berdoa kepada-Ku niscaya Aku akan mengabulkannya”
[HR. Ibnus Sunni] [AS132]

[HQ.1.6] Dari Abu Hurayrah r.a., katanya: Bersabda Rasulullah Saw.: “Berfirman Allah Yang Maha Agung:
Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku, dan Aku bersama-nya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu.
Bila ia mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta. Bila ia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari.”
[HR Al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi, Ibn Hanbal] [IA27]

[HQ.1.7] Dari Mu’adz ibn Jabal r.a., katanya: Aku mendengar Rasulullah Saw. bersabda:”Berfirman Allah Yang Maha Mulia dan Luhur:
Mereka yang berkasih-sayang demi Keluhuran-Ku, bagi mereka mimbar-mimbar cahaya yang menyebabkan para An-Nabi dan para Asy-Syuhada iri kepada mereka.”
[HR At Tirmidzi] [IA33]

[HQ.1.8] Dari Ali ibn Abi Thalib kwh.: Rasulullah Saw. bersabda: “Berfirman Allah Ta’ala:
Barangsiapa berharap (rajaa) kepada selain Aku tidak mengenal-Ku (ya’arifniy). Barangsiapa tidak mengenal-Ku tidak mengabdi-kepada-Ku (ya’abudniy). Barangsiapa tidak mengabdi-kepada-Ku, maka berarti menjadi-wajiblah (i’stawjaba) kemurkaan-Ku. Barangsiapa takut (khauf) kepada selain Aku, halal baginya pembalasan-Ku.”
[IA22]

[HQ.1.9] Aku bersaksi atas Abu Sa’id dan Abu Hurayrah, bahwa mereka bersaksi atas Nabi Saw., bahwa Beliau Saw. bersabda:
“Barangsiapa mengatakan: ‘Laa ilaaha illallah wallahu akbar’, Allah membenarkan dia dan berfirman: ’Tidak ada tuhan kecuali Aku’ dan ‘Aku Maha Besar’. Bila ia berkata: ’laa ilaaha illallahu wahdah’, Allah berfirman: ‘Tidak ada tuhan kecuali Aku sendiri’. Jika ia berkata: ‘laa ilaaha illallahu wahdahu laa syarikallah’ , Allah berfirman: ‘Tidak tuhan kecuali Aku Sendiri dan tidak ada sekutu bagi-Ku’. Bila ia berkata: ‘laa ilaaha illal-Lah, lahu-l-mulku wa lahu-l-hamdu’, Allah berfirman: ‘Tidak ada tuhan kecuali Aku, bagi-Ku kerajaan-Ku dan bagi-Ku segala puji’. Bila ia berkata: ’laa ilaaha illal-Lah, laa hawla walaa quwwata illa billah’, Allah berfirman: ‘Tidak ada tuhan kecuali Aku, tidak ada upaya dan tidak pula kekuatan kecuali dengan izin-Ku’.
Nabi Saw. bersabda: ‘Barangsiapa mengucapkannya di dalam sakitnya, kemudian mati, ia tidak dimakan api neraka.’”
[HR At-Tirmidzi]

[HQ.1.10] Dari Abu Hurayrah r.a., Rasulullah Saw. bersabda: Berfirman Allah Yang Maha Agung dan Luhur:
“Sudah Kupersiapkan untuk hamba-Ku yang Shalih apa yang tidak pernah mata melihatnya, tidak pernah telinga mendengarnya dan tidak bisa dibayangkan manusia.”
[HR Al Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, Ibn Majah, Ad Darimi] [Relung Cahaya, Ibn Arabi, Hadis ke 21] [AS27,31]

[HQ.1.11] Dari Abu Hurayrah r.a., Rasulullah Saw. bersabda: Berfirman Allah Yang Maha Besar dan Agung:
“Dari segala yang dipersekutukan, Akulah yang paling tidak butuh kepada persekutuan. Maka barangsiapa dalam pekerjaannya menyekutukan Aku dengan yang lain, Aku lepas daripadanya, sedang ia milik yang ia persekutukan.”
[HR Ibn Majah] [IA2]

[HQ.1.12] Dari Abu Umamah r.a., Rasulullah Saw. bersabda: Berfirman Allah Yang Maha Besar dan Agung:
“Diantara para wali-Ku di hadirat-Ku, yang paling menerbitkan iri-hati ialah si mu’min yang kurang hartanya, yang menemukan nasib hidupnya dalam sembahyang, yang paling baik ibadat kepada Tuhannya, dan taat kepada-Nya dalam keadaan tersembunyi maupun terang. Ia tak terlihat di antara khalayak, tak tertuding dengan telunjuk. Rezekinya pas-pasan, tetapi iapun sabar dengan hal itu.”
Kemudian Beliau Saw. menjentikkan jarinya, lalu bersabda: ”Kematiannya dipercepat, tangisnya hanya sedikit dan peninggalannya amat kurangnya.”
[HR At Tirmidzi, Ibn Majah, Ibn Hanbal] [IA3]

[HQ.1.13] Dari Abu Umamah Al Bahili r.a., bahwasanya Rasulullah Saw. bersabda: “Allah telah berfirman:
Sebaik-baik persembahan yang dapat diberikan hamba-Ku kepada-Ku ialah menyampaikan nasehat karena Aku.”
[HR Ahmad, Hakim, Abu Nu’aim] [AS7]

[HQ.1.14] Dari Anas r.a., bahwasanya Rasulullah Saw. bersabda: “Berfirman Allah Ta’ala:
Ada empat perkara. Satu yang menyangkut hubungan Aku dengan engkau. Satu lagi yang menyangkut hubungan antara engkau dengan hamba-hamba-Ku. Satu yang lan untuk Aku, dan yang satu lagi untuk engkau.
Adapun yang untuk Aku, hendaklah engkau mengabdi Aku tidak menyekutukan-Ku dengan sesuatupun. Yang menyangkut dirimu, maka apa saja yang engkau kerjakan dari kebajikan, Aku akan memberikan balasannya. Yang menyangkut antara Aku dengan engkau, ialah hendaklah engkau memohon (berdoa kepada) Aku dan Aku mengabulkan engkau. Dan yang menyangkut antara engkau dengan hamba-hamba-Ku, hendaklah engkau merelakan [ridhokan] bagi mereka apa yang engkau merelakan [ridhokan] bagi dirimu.”
[HR Abu Nu’aim] [AS25]

[HQ.1.15] Berkata Umarah bin Daskarah r.a., bahwasanya Rasulullah Saw. bersabda: “Allah Ta’ala telah berfirman:
Sesungguhnya hamba-Ku itu ialah setiap orang yang mengingati-Ku, di waktu dia sedang menemui lawannya (di medan perang).”

Powered by WordPress | iFreeCellPhones.com offers free mobile phones. | Thanks to PalmPreBlog.com, Facebook Games and Fettverbrennungsofen