Dalam melaksanakan ibadat korban bersempena dengan perayaan Aidiladha ini, marilah kita berusaha sedaya upaya untuk mencontohi sunnah-sunnah Nabi s.a.w.
Pertamanya, dalam persoalan hukum ibadah korban ini, para ulama telah berselisih pendapat dalam hal kewajipan penyembelihan binatang korban. Tetapi menurut pendapat yang lebih kuat (rajih) adalah hukumnya wajib bagi setiap orang Islam yang berdaya (mampu) untuk berkorban. (Lihat: احكام العيدين hlm. 26. Ali Hasan Ali Abdul hamid) Ini bermakna setiap muslim yang berkemampuan wajib menunaikan kewajipan korban di setiap kali menjelangnya Aidil Adha.
Berkorban hanya sah dilakukan setelah selesai solat Hari Raya ‘Idil Adha atau di hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Janganlah sekali-kali salah seorang antara kamu menyembelih korban, sehinggalah selepas selesai solat (Aidil Adha)”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Allah memerintahkan agar orang-orang beriman berkorban setelah menjelangnya ‘Idil Adha (Hari Raya Korban). Kewajipan berkorban telah disyariatkan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. Umat Islam diperintahkan agar mengikut millah (agama) Nabi Ibrahim. Rujuk firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 123.
Perintah Allah menunjukkan tentang wajibnya berkorban, sehingga Nabi Ibrahim a.s sanggup menyembelih anak kesayangannya kerana mentaati dan menunaikan perintah Allah kepadanya.
Jika Nabi Ibrahim a.s sanggup mengorbankan satu-satunya anak yang tersayang, Nabi Ismail pula sanggup mengorbankan nyawanya yang tak ternilai kerana taat menunaikan perintah Allah dan cintanya kepada-Nya, maka di mana bukti cinta seseorang yang mengaku beriman terhadap Rabbnya, mengapa tidak mengorbankan sedikit dari hartanya, iaitu dengan menyembelih seekor binatang korban di ‘Idil Adha.
DALIL-DALIL KEWAJIPAN MELAKUKAN KORBAN
Antara dalil-dalil syara’, fatwa dan pendapat para ulama Salaf as-Soleh (generasi awal) yang menyatakan bahawa berkorban hukumnya wajib apabila ada kemampuan ialah:
“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah kamu”. (Al-Kausar, 2)
Menurut Rabi’ah, Al-Auza’i, Abu Hanifah, al-Laith dan sebahagian para pengikut Malikiyah bahawa berkorban hukumnya adalah wajib bagi setiap ahli keluarga yang mampu. (Lihat: (1). Bidayah al-Mujtahid. 1/314. Ibn Asyd. (2). Al-Fikhul Islami wa-Adillatuhu. Juz 3/595-597. Dr. Wahbad az-Zuhaili) Antara dalil-dalil mereka yang menunjukkan wajibnya berkorban kepada sesiapa yang berkemampuan ialah:
“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah kamu”.
“Dari Ibnu Umar r.a berkata: Rasulullah s.a.w telah menetap (bermukim) di Madinah selama sepuluh tahun, baginda tetap menunaikan korban”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
“Di masa Rasulullah s.a.w, setiap seseorang lelaki berkorban dengan seekor kambing untuknya dan untuk keluarganya”. (H/R Tirmizi, kitab al-Adhahi 2/1216 (hadis ini disahihkan oleh beliau). Dikeluarkan oleh Ibnu Majah, 2/2546 (dengan sanad yang sahih). Hadis ini disahihkan juga oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)
“Diatas setiap ahli bait (ketua keluarga) hendaklah ada sembelihan (korban/udhiyah)”. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah. Hakim (disahihkan oleh beliau))
“Barangsiapa yang mendapati dirinya mempunyai kelapangan/kemampuan (rezeki untuk berkorban), lalu dia tidak mahu berkorban, maka jangan sekali-kali dia mendekati tempat solat kami”. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Darqutni, Hakim dan sanadnya hasan. Lihat: Fathul Bari, jld. 10/5. Hadis Mauquf lihat: Bulughul Maram, 1349 dan Ahkam al-I’dain, hlm. 26)
“Dari Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu berkata: Kami bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di salah satu perjalanan (safar), kemudian tiba Hari Raya Korban, maka kami berkongsi tujuh orang pada seekor lembu dan sepuluh orang pada seekor unta”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi, 1213. Dan disahihkan oleh al-Albani)
“Dari Jabir radiallahu ‘anhu berkata: Kami telah menyembelih korban bersama Rasulullah s.a.w di Hudaibiyah, iaitu unta untuk tujuh orang dan lembu untuk tujuh orang”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Imam Malik rahimahullah berkata:
“Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”. (Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)
Sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum berkorban adalah sunnah, bukan wajib. Inilah antara pendapat Imam Syafie rahimahullah. Namun setiap kata-kata dan pendapat boleh diterima dan ditolak, kecuali kata-kata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.
WAKTU MULA MENYEMBELIH KORBAN
Menyembelih binatang korban hanya boleh dilakukan setelah selesai solat Hari Raya. Tidak dihukum sebagai ibadah korban bagi sesiapa yang menyembelih sebelum selesainya solat Aidil Adha. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
“Baginda bertanya apakah (disembelih) sebelum solat? Ia menjawab: Ya! Baginda bersabda: Itu adalah daging kambing (sedekah) yang bukan kambing korban”.
“Sesungguhnya perkara yang pertama yang kita mulakan pada hari ini (Hari Raya Korban) ialah kita solat, kemudian menyembelih (binatang korban). Maka sesiapa yang melakukan serupa itu dia telah mendpatkan sunnah kami. Barangsiapa yang menyembelih sebelum solat, maka sesungguhnya sembelihan itu adalah daging yang diperuntukkan bagi keluarganya, bukan termasuk binatang korban sedikitpun”. (Hadis Riwayat Muslim, 1961)
ADAKAH BATAS UMUR BAGI HAIWAN KORBAN?
Harus mencapai usia Musinnah dan Jadza’ah
“Janganlah kalian menyembelih kecuali setelah mencapai usia musinnah (usia yang cukup bagi unta, lembu, dan kambing). Namun apabila mengalami kesukaran, maka sembelihlah binatang yang telah mencapai usia jadza’ah (usia yang cukup) dari domba (kibas).” (Hadis Riwayat Muslim)
Oleh kerana tidak ada ketentuan syar’i berkenaan batasan usia, maka terjadilah perbezaan pendapat di kalangan ulama. Akan tetapi pendapat yang paling banyak dipilih dari kalangan mereka adalah sebagaimana berikut; Unta 5 tahun, lembu 2 tahun, kambing 1 tahun, dan kibas (domba) 6 bulan. Pendapat ini dipilih oleh Syaikh Ibnu Utsaimin rahimahullah di dalam asy-Syarhul Mumti’, 7/460.
HAIWAN YANG TIDAK CACAT
Haiwan yang ingin dijadikan korban tidak boleh cacat atau ada kekurangan, seperti kurus, pincang (tempang), berpenyakit, buta walau sebelah mata, hilang telinga, tanduk atau kakinya. Syarat-syarat ini berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
“Empat (jenis binatang) yang tidak dibolehkan dalam berkorban: Buta sebelah yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang (pincang) yang jelas bengkoknya, yang tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus)”. (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Hibban dan Hakim)
PERKARA-PERKARA YANG SUNNAH
Ada beberapa perkara yang disunnahkan bagi mereka yang melakukan korban, antaranya:
1 – Semua yang terlibat dengan ibadah korban, disunnahkan agar tidak menggunting rambut dan memotong kukunya setelah masuk 1 Zulhijjah hingga ke hari dia berkorban. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu hendak berkorban, maka hendaklah dia menahan dirinya dari memotong rambut dan kukunya”. (Hadis Riwayat Muslim, 1977. Hadis dari Ummu Salamah)
“Barangsiapa yang memiliki sembelihan untuk disembelih, maka apabila masuk bulan Zulhijjah, maka janganlah sekali-kali memotong rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban”. (Hadis Riwayat Muslim)
2 – Makan daging sembelihannya, bersedekah dan menyimpan dagingnya yang lebih:
“Makanlah sebahagian daripadanya, dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir”. (Al-Haj, 22:28)
“Bahawa Nabi s.a.w bersabda: Makanlah (dagingnya), simpanlah (jika ada yang lebih) dan bersedekahlah”. Hadis Riwayat Bukhari 5569. Muslim 197)
“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam memerintahkan aku untuk menyemblih binatang korbannya dan membahagi-bahagikan dagingnya, kulitnya dan alat-alat yang melindungi tubuhnya. Dan tidak memberi (sebagai upah) tukang sembelih sedikitpun dari korban tersebut”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menurut pendapat jumhur ulama, setiap yang bermanfaat yang datangnya dari tubuh binatang korban tidak boleh diperjualbelikan. Tukang sembelih yang diupah untuk menyembelih tidak mendapat daging korban dan tidak boleh diupah dengan daging korban, tetapi yang dia dapat hanyalah upah dari yang berkorban sebagaimana yang dijelaskan melalui hadis di atas.
3 – Disunnahkan bagi yang berkorban menyembelih sendiri binatang sembelihannya, atau mewakilkan kepada orang lain.
Untuk memperlihatkan syiar Islam, maka disunnahkan agar menyembelih di musalla (di tanah lapang yang digunakan untuk solat). Ini berdalilkan hadis dari Ibnu Umar r.a dari Nabi s.a.w :
“bahawasanya baginda menyembelih dan berkorban di Musalla”. (Hadis Riwayat Bukhari)
MENYEMBELIH SECARA SUNNAH
Hendaklah menyembelih dengan pisau yang tajam.
Ketika hendak menyembelih ucapkanlah: Bismillahi wallahu Akbar (بِسْمِ اللهِ وَاللهُ أَكْبَرُ).
Baringkanlah binatang korban pada sebelah sisi kirinya agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri, sebagaimana hadis Rasulullah:
“Dari Anas radiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyembelih dua ekor kibasy yang bagus dan bertanduk. Baginda mengucapkan basmalah dan bertakbir serta meletakkan kakinya di samping lehernya”. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
TIDAK MEMBERIKAN DAGING KURBAN SEBAGAI UPAH
Nabi s.a.w. pernah menyuruhku untuk menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya, dan aku tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih dari haiwan korban tersebut. Dan dia mengatakan: “Kami memberinya dengan harta kami sendiri.” (Hadis Riwayat Muslim, 1317)
SATU SEMBELIHAN UNTUK SEMUA AHLI KELUARGA
Seekor binatang korban, sama ada kambing atau lembu, boleh dikongsi pahalanya untuk dirinya, untuk orang-orang yang dalam tanggungannya dan untuk kesemua ahli keluarganya walaupun hanya berkorban dengan seekor kambing. Kerana seorang ketua keluarga mewakili seluruh keluarganya apabila dia berkorban. Ini berdasarkan hadis:
“Berkata Ata bin Yasar: Aku bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansari bagaimana sifat sembelihan dimasa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam? Beliau menjawab: Jika seseorang berkorban seekor kambing, maka untuk dia dan semua keluarganya. Kemudian mereka makan dan memberi makan dari korban tersebut”. (Hadis Rriwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah, Malik dan al-Baihaqi. Dengan sanadnya yang hasan)
Namun, tidak ada larangan jika setiap individu dalam sebuah keluarga berkorban seekor kambing setiap seorang.