Setelah memperkatakan tentang definisi sunnah dan jamaah pada bahagian ke 2 ini, kita akan membincangkan pula definisi ahli hadis dan salafus soleh. Apa pentingnya?
Ini kerana, dapati sesetengah masyarakat hari ini terlalu mudah melabelkan seseorang ustaz sebagai ulama ahli hadis atau pakar ilmu hadis hanya kerana individu tersebut seringkali mengajar hadis-hadis Nabi s.a.w. Oleh yang demikian perlu diterangkan serba sedikit definisi ahli hadis dan salafus soleh untuk pengetahuan kita bersama.
AHLI HADIS
Adapun mengikut istilah, al-hadis ialah perkataan, perbuatan, ketetapan, sifat atau akhlak Nabi s.a.w. (sila lihat Manhaj an-Naqdi Fi Ulumil Hadis, hlm.26).
Terdapat 2 bentuk ilmu hadis :
1. Ilmu hadis riwayat.
2. Musthalah al-hadis.
Ilmu hadis riwayat ialah ilmu yang meliputi perkataan, perbuatan, sifat-sifat Nabi, riwayat dan penyampaian, serta penulisan lafaz-lafaznya (Tadribur Rawi 1:40).
Musthalah al-hadis pula ialah ilmu tentang peraturan-peraturan yang digunakan untuk mengetahui keadaan sanad dan matan (Tadribur Rawi 1:41).
Sheikh al-Ashabani berpendapat mengenai ahli hadis “Kami mendapatkan sunnahnya dan kami mengetahuinya dengan atsar-atsar yang masyhur yang diriwayatkan dengan sanad-sanad sahih lagi bersambung, yang dinukil oleh para ulama penghafal hadis (hafiz); sebahagian mereka daripada sebahagian yang lain. Menurut kami mereka itu Ashabul Hadis, sangat gigih mencari, mengumpulkan dan mengikuti hadis-hadis sahih. Kerana itu, kami yakin berdasarkan al-Quran dan sunnah bahawa merekalah ahlinya dan bukan kelompok lain.”
Jika kita perhatikan, maka ahli hadis dan ahli sunnah merupakan dua istilah yang amat dekat maknanya. Ia saling berkait antara satu sama lain. Jika yang satu disebut secara mutlak, maka yang lain termasuk di dalamnya. Dan dengan sendirinya lafaz itupun menunjukkan semua golongan yang selamat dimulai ahli fekah, ahli hadis, ulama, umara, orang-orang zuhud, para pejuang, para ahli usul, ahli nahwu dan ahli bahasa, hingga ahli kebaikan. Lafaz ini sama ertinya dengan ahlul haq atau ahlul Quran dan sebagainya.
SALAFUS SOLEH.
Salaf bererti para pendahulu. Jika dikatakan salaf seseorang (salaf ar-rajuli), maksudnya kedua orang tua yang telah mendahuluinya (Tahirul Maqalah Min Syarhir-Risalah, hlm.36, dari al-Maghrawi, al-Mufassirun Bainat-Takwil wal Itsbat, hlm.18).
Menurut istilah, kata salaf bererti sahabat dan tabi’in, serta pengikut mereka daripada imam-imam terkemuka yang mengikuti al-Quran dan as-sunnah.
Menurut al-Qaslani, Salafus Soleh ialah generasi pertama yang mendalam ilmunya,mengikuti petunjuk Nabi s.a.w dan memelihara sunnah Baginda. Mereka telah dipilih ALLAH untuk menemani Nabi-NYA dan menegakkan agama-NYA. Mereka adlah imam-imam umat yang diredhai dan berjuang dengan gigih di jalan ALLAH. Mereka berusaha semaksima mungkin menasihati umat dan memberikan hal-hal yang bermanfaat. Mereka mencurahkan seluruh kemampuan untuk mencari keredhaan ALLAH sehingga ALLAH memuji mereka dalam kitab-NYA. Kerana itu, kita wajib mengikuti apa yang mereka sampaikan, meneladani apa yang mereka amalkan dan memohonkan ampun buat mereka.” (al-Mufassirun Bainat-Takwil wal Itsbat, 1:18)
Abdul Hassan berkata, “Mereka yang perkataan dan perbuatan mereka diikuti, dan takwil serta hasil ijtihad mereka diterima.” (al-Mufassirun Bainat-Takwil wal Itsbat, 1:18)
Mengenai Salafus Soleh ini, al-Ghazali mengatakan, “Yang saya maksudkan salaf di sini adalah mazhab sahabat dan tabi’in.” (Ilhamul ‘awam ‘an Ilmil Kalam : 62)
Menurut al-Bajuri, “Yang dimaksudkan salaf ialah orang terdahulu, iaitu Nabi, para sahabat, tabi’in dan pengikut mereka khususnya Imam Mujtahid yang empat.” (Syarhul Jauharah 111).
Sheikh Ibnu Hajar al-Qathri dalam kitabnya al-’Aqa’idus Salafiyyah bin Adillatihal ‘Aqliyyah wan-Naqliyyah mengatakan,
“…yang dimaksudkan dengan Mazhab Salaf ialah apa yang dipegangi oleh para sahabat yang mulia, pengikut mereka yang baik hingga hari kiamat, pengikut mereka lagi, Imam-imam ad-din yang terkemuka dan orang-orang yang menerima perkataan mereka daripada generasi ke generasi berikutnya seperti Imam yang empat (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal), Sufyan at-Tsauri, al-Lais bin Saad, Ibnu Mubarak, An-Nakha’i, al-Bukhari dan Muslim. Selain itu juga para penyusun kitab sunan yang tidak tertuduh sebagai pembuat bidaah dan tidak terkenal dengan gelaran yang tidak menyenangkan seperti Khawarij, Rafidli, Murjiah, Jabariah, Jahmiah dan Muktazilah.” (al-Mufassirun Bainat-Takwil wal Itsbat, 1:19-20).
Sabda Nabi Muhammad s.a.w bermaksud;
“Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang sesudahnya dan orang-orang sesudahnya lagi. Lalu akan datang orang-orang yang kesaksiannya mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului kesaksiannya.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Turut disertakan bersama artikel ini, senarai para alim ulama yang dimaksudkan sebagai Ahli Hadis dan generasi Salafus Soleh selepas kewafatan Rasulullah s.a.w;
Khalifah ar-Rasyidin :
• Abu Bakr As-Siddiq
• Umar bin Al-Khathab
• Utsman bin Affan
• Ali bin Abi Talib
Generasi Sahabat, di antaranya ialah :
• Ibnu Umar
• Ibnu Abbas
• Ibnu Az-Zubair
• Ibnu Amr
• Ibnu Mas’ud
• Aisyah binti Abu Bakar
• Ummu Salamah
• Zainab bint Jahsy
• Anas bin Malik
• Zaid bin Tsabit
• Abu Hurairah
• Jabir bin Abdillah
• Abu Sa’id Al-Khudri
• Mu’adz bin Jabal
• Abu Dzarr al-Ghifari
• Sa’ad bin Abi Waqqash
• Abu Darda’
(SJ cuma menyebutkan sebahagian sahabat sahaja. Ini kerana jumlah para sahabat adalah sangat ramai. Sahabat-sahabat Baginda yang lain juga telah banyak memberi sumbangan kepada kejayaan Islam.)
Para Tabi’in :
• Sa’id bin Al-Musayyab wafat 90 H
• Urwah bin Zubair wafat 99 H
• Sa’id bin Jubair wafat 95 H
• Ali bin Al-Husain Zainal Abidin wafat 93 H
• Muhammad bin Al-Hanafiyah wafat 80 H
• Ubaidullah bin Abdillah bin Utbah bin Mas’ud wafat 94 H
• Salim bin Abdullah bin Umar wafat 106 H
• Al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr Ash Shiddiq
• Al-Hasan Al-Basri wafat 110 H
• Muhammad bin Sirin wafat 110 H
• Umar bin Abdul Aziz wafat 101 H
• Nafi’ bin Hurmuz wafat 117 H
• Muhammad bin Syihab Az-Zuhri wafat 125 H
• Ikrimah wafat 105 H
• Asy Sya’by wafat 104 H
• Ibrahim an-Nakha’iy wafat 96 H
• Aqamah wafat 62 H
Para Tabi’ut tabi’in :
• Malik bin Anas wafat 179 H
• Al-Auza’i wafat 157 H
• Sufyan bin Said Ats-Tsauri wafat 161 H
• Sufyan bin Uyainah wafat 193 H
• Al-Laits bin Sa’ad wafat 175 H
• Syu’bah ibn A-Hajjaj wafat 160 H
• Abu Hanifah An-Nu’man wafat 150 H
Atba’ Tabi’it Tabi’in : Setelah para tabi’ut tabi’in:
• Abdullah bin Al-Mubarak wafat 181 H
• Waki’ bin Al-Jarrah wafat 197 H
• Abdurrahman bin Mahdy wafat 198 H
• Yahya bin Sa’id Al-Qaththan wafat 198 H
• Imam Syafi’i wafat 204 H
Murid-Murid atba’ Tabi’it Tabi’in :
• Ahmad bin Hambal wafat 241 H
• Yahya bin Ma’in wafat 233 H
• Ali bin Al-Madini wafat 234 H
• Abu Bakar bin Abi Syaibah Wafat 235 H
• Ibnu Rahawaih Wafat 238 H
• Ibnu Qutaibah Wafat 236 H
Kemudian murid-muridnya seperti:
• Al-Bukhari wafat 256 H
• Muslim wafat 271 H
• Ibnu Majah wafat 273 H
• Abu Hatim wafat 277 H
• Abu Zur’ah wafat 264 H
• Abu Dawud : wafat 275 H
• At-Tirmidzi wafat 279
• An Nasa’i wafat 234 H
Generasi berikutnya : orang-orang generasi berikutnya yang berjalan di jalan mereka adalah:
• Ibnu Jarir ath Thabari wafat 310 H
• Ibnu Khuzaimah wafat 311 H
• Muhammad Ibn Sa’ad wafat 230 H
• Ad-Daruquthni wafat 385 H
• Ath-Thahawi wafat 321 H
• Al-Ajurri wafat 360 H
• Ibnu Hibban wafat 342 H
• Ath Tabrani wafat 360 H
• Al-Hakim An-Naisaburi wafat 405 H
• Al-Lalika’i wafat 416 H
• Al-Baihaqi wafat 458 H
• Al-Khathib Al-Baghdadi wafat 463 H