Sentuh Kemaluan Tak Batal Wuduk

Masaalah menyentuh kemaluan, para ulama berbeza pandangan samaada ia membatalkan wudhu ataupun tidak, di bawah ini sebahagian petikan kasar dari fatwa al-Qaradhawi.

Terdapat beberapa pandangan dalam masaalah ini :

1- Tidak membatalkan wudhu. Pendapat ini diriwayatkan dari ‘Ali, Ibn Mas’ud, ‘Ammar, Huzaifah, ‘Imran bin Husain dan Abu Darda’ dari kalangan sahabat Nabi saw. Ini juga pendapat Rabi’ah, al-Thauri, Ibn Munzir, Abu Hanifah dan sahabatnya dan satu riwayat daripada Ahmad.

Hujah mereka adalah hadith yang diriwayatkan oleh al-Nasa-ie tentang seorang badwi yang bertanya kepada Nabi saw :

يا رسول الله! ما ترى في رجل مسَّ ذكره في الصلاة؟ قال: وهل هو إلا مضغة منك ـ أو بضعة منك ـ؟

Maksudnya : “Wahai Rasulullah ! Apa pandangan kamu tentang seorang lelaki yang menyentuh kemaluannya ? Jawab Nabi saw : “dan bukankah ia itu tidak lain melainkan seketul daging daripada kamu atau sebahagian daripada kamu ?”

Ibn Hajar di dalam Bulugh al-Maram berkata : Hadith ini dikeluarkan oleh al-Khamsah, dan ianya disahihkan oleh Ibn Hibban. al-Son’ani di dalam Subul al-Salam berkata : “Hadith ini diriwayatkan juga oleh Daruqutni, dan al-Tohawi berkata : Sanadnya Mustaqim tanpa Mutdtarib, dan ianya disahihkan juga oleh al-Tabrani dan Ibn Hazm. Mereka berkata : “Kerana ianya (kemaluan) satu anggota dari badan insan, maka dia tidak membatalkan wudhu dengan menyentuhnya, sama seperti menyentuh anggota yang lain.”

2- Membatalkan wudhu. Ini yang zahir dari mazhab Ahmad, demikian juga pandangan Ibn Omar, Sa’id bin Musayyib, ‘Ato, Urwah, Sulaiman bin Yasar, al-Zuhri, al-Auza’ie, al-Syafi’ie dan masyhur dari Malik.

Hujah mereka ialah hadith yang diriwayatkan dari Busrah binti Sofwan oleh Malik di dalam al-Muwatta’, sabda Nabi saw :

من مس ذكره فليتوضأ
Maksudnya : “Sesiapa yang menyentuh kemaluanya, maka hendaklah dia berwudhu.”

al-Tirmizi berkata : Hadith ini hasan sahih. Berkata al-Bukhari : Hadith ini أصح شيء في الباب. Hadith ini juga disahihkan oleh Ahmad.

Sesuatu yang penting untuk diketahui [perkataan al-Bukhari (أصح شيء في الباب) asahhu syai’ fi al-bab] tidak memaksudkan kesahihan hadith tersebut, bahkan ia membawa maksud itulah sebaik-baik yang ada, walaupun ia tidak sampai ke darjat sahih dengannya semata-mata.

al-Qaradhawi juga menyebut satu kisah tentang hadith ini yang mana ‘Urwah bin Zubair mengingkari hadith daripada Busrah Binti Sofwan ini. al-Qaradhawi berkata :

“Dan termasuk dari hak seseorang untuk dia tawaqquf (berhenti tidak menggunakan) hadith ini (disebabkan adanya keraguan). Bagaimana boleh orang seperti ‘Urwah bin Zubair tidak mengetahui hadith ini, dan dia tidak tahu langsung tentang hukum ini (sentuh kemaluan membatalkan wudhu) dan dia terkejut dengannya (dengan pendapat Busrah binti Sofwah tersebut) dan dia mempersoalkannya, sedangkan dia (Urwah bin Zubair) tinggal di Madinah, salah seorang ulama Madinah, salah seorang rawi di Madinah, salah seorang fuqaha’ yang tujuh yang terkenal. Bapanya al-Zubair, Ibunya Asma’ pemilik dua pengikat pinggang (النطاقين), mak saudaranya ‘Aa-isyah, dan dia (‘Urwah) seorang yang paling terkenal meriwayatkan dari ‘Aa-isyah. Bagaimanakah perkara ini diketahui oleh Busrah seorang sahaja ? tidak sahabat lainnya ? Terutamanya hadith ini tidak diriwayatkan dalam salah satu dua kitab yang sahih, tidak di dalam al-Bukhari dan tidak di dalam muslim. Tambahan pula ulama yang berpendapat batal (batal wudhu dengan menyentuh kemaluan kerana hadith ini) meletakkan syarat jika menyentuhnya tanpa lapik. Sebahagian yang lain meletakkan pula syarat lain, batal jika sentuh dengan tapak tangan kerana itulah alat sentuhan. Sebahagian yang lain meletakkan syarat jika sentuh dengan sengaja, kalau tersentuh, atau terlupa maka tidak membatalkan wudhu. Ditanya kepada Imam Ahmad : “(Perlu) wudhu bagi orang yang menyentuh kemaluan ?” Beliau menjawab : “(jika) seperti ini” sambil dia menggenggam tangannya, yakni jika seseorang itu memegang/menggenggam (kemaluan) dengan tangannya. bahkan sebahagian yang lain meletakkan syarat jika sentuh dengan syahwat. Orang-orang yang berpendapat batal wudhu dengan menyentuh kemaluan ini juga berkata tidak ada beza samaada menyentuh kemaluan sendiri atau orang lain. Berbeza dengan Daud (al-Zahiri) yang berkata adapun yang batal itu yang ada di dalam dalil, kemaluan sendiri. Ulama yang lain membantahnya (Daud), jika batal wudhu dengan menyentuh kemaluan sendiri – walau dalam keadaan ada keperluan ke arah itu, sedang menyentuh kemaluan sendiri itu adalah harus, maka batal wudhu kerana menyentuh kemaluan orang lain itu – dalam keadaan menyentuh kemaluan orang lain itu adalah maksiat – adalah lebih utama (untuk dikatakan batal wudhu). Dan hukum menyentuh kemaluan orang besar ataupun kecil sama di sisi al-Syafi’ie. Berkata pula al-Zuhri dan al-Auza’ie : “Tidak batal (wudhu) menyentuh kemaluan kanak-kanak, kerana harus menyentuh dan melihatnya, berbeza dengan kemaluan orang dewasa.

Pendapat Yang Dipilih Oleh al-Qaradhawi

Al-Qaradhawi di bahagian akhir fatwanya berkata :

“Dan yang kami pilih (tarjih) ialah pendapat yang pertama, iaitu tidak batal wudhu dengan menyentuh kemaluan. Jika menyentuhnya dengan syahwat (selama-mana tidak keluar sesuatu) hanya disunatkan wudhu sahaja. Kerana sesungguhnya perkara yang termasuk Umum al-Balwa berlaku kepada semua manusia. (jika menyentuh kemaluan membatalkan wudhu) pasti Nabi saw akan menerangkannya dengan penerangan yang menyeluruh, dinaqalkan dari baginda, diketahui di kalangan umat islam (zaman Nabi saw). Tidak dapat digambarkan bahawasanya hukum sebegini hanya khusus diketahui oleh seorang atau dua orang dari kalangan mereka (sahabat Nabi saw), bukan semuanya.

Tidak ada satu hadith yang sahih dalam perkara ini selain hadith Busrah binti Sofwan. Dan yang ajaib, perkara ini yang khusus untuk lelaki dinakalkan dari seoran perempuan. Kalaupun kami berpendapat ia sahih, kami pasti mengatakan : sesungguhnya perkara ini (sentuh kemaluan) padanya mustahab (sunat untuk berwudhu). Ia bertepatan dengan asas yang kami pilih, iaitulah asal dalam arahan-arahan Nabi (selain al-Quran) adalah al-Istihbab (sunat), melainkan setelah tertegaknya qarinah (bukti) yang membawa maksud wajib. (أن الأصل في الأوامر النبوية: الاستحباب، إلا ما قامت قرينة فيه تنقله إلى الوجوب)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata :

“Yang lebih zahir bahawasanya wudhu sesiapa yang menyentuh kemaluan adalah mustahab (sunat) bukan wajib.”

Inilah yang jelas dari salah satu riwayat dari imam Ahmad, ini dengan jalan menghimpunkan hadith-hadith dan athar-athar (yang ada tentang wudhu bagi yang menyentuh kemaluan), dengan memahami arahan (berwudhu bagi orang yang menyentuh kemaluan) itu adalah dalam bentuk sunat. Ia tidak berperanan sebagai pembatal kepada sabda Nabi saw “Bukankah ia (kemaluan) sebahagian daripada kamu”. Maka memahami arahan berwudhu sebagai arahan sunat adalah lebih utama dari membatalkannya. – tamat petikan fatwa.

wallahu a’lam. Abdul Kadir

*********************
بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلاوم على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

– Permasalahan batal wuduk kerana menyentuh zakar adalah khilaf feqah yang muktabar. Perselisihan ini timbul sejak generasi awal lagi, dan berterusan sehingga sekarang.

– Sesiapa yang memilih salah satu pendapat kerana berpuas hati dengan hujah yang dikemukakan ulama, maka sesungguhnya dia telah memilih salah satu pendapat yang muktabar. Sebagaimana kata-kata Imam Auzaie dalam masalah memberi salam kepada orang kafir, “Jika kamu memberi salam (kepada orang kafir), maka ada orang-orang soleh sebelum kamu pernah melakukannya. Dan jika kamu meninggalkannya, maka ada orang-orang soleh sebelum kamu meninggalkannya”. (Tafsir Qurtubi 11/112).

Begitu juga dalam masalah membaca Fatihah di belakang imam, telah berkata Al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr al-Siddiq, “Jika kamu membaca, maka kamu mempunyai uswatun hasanah (ikutan yang baik) dari kalangan sahabat Rasulullah SAW. Dan jika kamu tidak membaca, maka kamu juga mempunyai uswatun hasanah dari kalangan sahabat Rasulullah SAW”. (Jamik Bayan al-Ilm Wa Fadhlih no: 1690).

– Kesimpulan, permasalahan ini adalah khilaf muktabar. Dan setiap pendapat mempunyai hujahan masing-masing. Seorang muslim penuntut ilmu, haruslah mengikut pendapat yang paling diyakini bertepatan dengan dalil-dalil.

Wallahu A’lam.

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | iFreeCellPhones.com offers free mobile phones. | Thanks to PalmPreBlog.com, Facebook Games and Fettverbrennungsofen