Adakah Sentuh Kulit Lelaki Atau Perempuan Bukan Mahram Membatalkan Wuduk?

Apabila kita pergi ke luar negara contohnya di negara Arab atau selainnya. Kita akan mendapati ada sebahagian orang Islam beranggapan bahawa menyentuh isteri atau tersentuh kulit bukan mahram tidak membatalkan tayamum atau wuduk.
Keadaan ini akan nampak lebih jelas apabila kita pergi ke Mekah dan Madinah untuk menunaikan haji dan umrah, di dalam tengah-tengah lautan manusia kita akan dapat lihat ada sebahagian pasangan yang bertawaf sambil berpegangan tangan, sedangkan syarat sah tawaf adalah dalam keadaan berwuduk.
Ada ketikanya, seorang tua akan memimpin tangan isterinya kerana keuzuran yang ada pada isterinya, dipimpinnya dari luar hingga masuk ke masjid, kemudiannya terus menunaikan solat, menyentuh mushaf al-Quran dan lain-lain.
Perlu ditegaskan, wuduk atau tayamum tidak batal jika sentuh isteri atau tersentuh perempuan ajnabi tanpa sengaja kerana terlalu ramai orang menurut sebahagian ulama. Ini kerana, menyentuh perempuan ajnabi (tanpa ada pertalian perkahwinan) secara sengaja adalah haram dan tidak dibenarkan oleh Islam.
Sebenarnya, apa yang mereka lakukan itu bukanlah satu perkara yang salah atau janggal jika kita mempelajari perbahasan fikah dengan lebih mendalam. Ini kerana, ia adalah perselisihan di antara para imam yang empat iaitu Imam Hanafi, Malik, Syafie dan Hanbali. Mereka ini adalah imam yang diiktiraf oleh ahli sunah wa al-Jemaah.
Sebab itu, jika kita perasan ada pihak pengurusan kursus haji akan memberi pendapat alternatif kepada jemaah haji dalam hal ini iaitu tidak batal wuduk atau tayamum jika tersentuh perempuan ajnabi tanpa sengaja atau memimpin tangan isteri ketika berada di dalam lautan manusia.
Amat sukar sekiranya kita hanya berpegang pada satu pendapat dalam hal ini, sedangkan adanya pendapat yang lain, yang mana ia nya akan memudahkan kita untuk menunaikan haji dan umrah dengan baik.
Perbahasan para ulama mengenai hal ini terbahagi kepada beberapa bahagian. Antaranya ialah:
Pendapat pertama: Menyentuh perempuan ajnabi sama ada isteri atau orang asing membatalkan wuduk sama ada bersyahwat atau tidak bersyahwat. Ini adalah pandangan mazhab Syafie.
Antara dalil yang dikemukakan ialah berdasarkan kefahaman umum daripada ayat al-Quran di dalam surah an-Nisaa’ ayat 43,
أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ
Maksudnya: “atau kamu bersentuh dengan perempuan.”

Pendapat Kedua: Menyentuh perempuan ajnabi sama ada isteri atau orang asing tidak membatalkan wuduk sama ada bersyahwat atau tidak bersyahwat. Ini adalah pandangan mazhab Hanafi.
Antara dalil yang dikemukakan ialah,
1. Hukum asal bagi orang yang berwuduk atau bertayamum adalah kekal selagi tidak ada dalil yang menunjukkan sesuatu perkara yang dilakukannya itu membatalkan wuduk atau tayamumnya. Maka dalam bab menyentuh wanita, tidak ada dalil yang khusus menunjukkan ia membatalkan wuduk. Adapun tentang ayat di atas, mazhab Hanafi memahami ayat tersebut dengan maksud bersetubuh, bukannya bersentuhan dalam erti kata kulit bertemu kulit semata-mata.
Selain itu, terdapat juga hadis-hadis sahih yang menunjukkan bersentuhan semata-mata tidak membatalkan wuduk, dan dalil-dalil ini menguatkan lagi pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan maksud sentuhan di dalam ayat di atas adalah dimaksudkan kepada jimak atau bersetubuh.
2. Antara hadis yang disebut ialah daripada Aisyah, beliau menyebut,
كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلَايَ فِي قِبْلَتِهِ فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا
Maksudnya: “Aku pernah tidur di hadapan Rasulullah SAW dalam keadaan dua kaki-ku di hadapan kiblat baginda (dan baginda sedang menunaikan solat), lalu apabila baginda hendak sujud, baginda memegang kaki-ku, lalu aku pun menarik kaki-ku (untuk membolehkan baginda sujud), apabila baginda bangun, aku lunjurkan semula dua kaki-ku tadi.”
(Direkodkan oleh Bukhari, no. 382)

3. Hadis daripada Aisyah, beliau menyebut,
فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً مِنْ الْفِرَاشِ فَالْتَمَسْتُهُ فَوَقَعَتْ يَدِي عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ وَهُمَا مَنْصُوبَتَانِ وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ

Maksudnya: “Aku kehilangan Rasulullah SAW pada suatu malam di tempat tidur-ku, aku meraba-raba mencari baginda, lalu dua tanganku tersentuh belakang kakinya, dan baginda di dalam masjid (tempat sujud untuk menunaikan solat), kedua-dua kaki baginda itu ditegakkan, dan baginda membaca: “Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan keredhaan-Mu dari kemurkaan-Mu, dan dengan kemaafan-Mu dari kemurkaan-Mu.”
(Direkodkan oleh Muslim, no. 1118)
3.Hadis daripada Aisyah, beliau menyebut,
عَنْ عَائِشَةَ , أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ قَبَّلَ بَعْضَ نِسَائِهِ ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلاَةِ ، وَلَمْ يَتَوَضَّأْ
Maksudnya: “Dariapda Aisyah, bahawasanya Nabi SAW mencium sebahagian isteri-isterinya, lalu pergi solat tanpa berwuduk lagi.”
(Direkodkan oleh Tirmizi, no. 86, Ibnu Majah, no. 69, Ahmad, no. 25807) [1]

Jelas daripada ketiga-tiga hadis ini menunjukkan Nabi SAW pernah menyentuh Aisyah ketika baginda menunaikan solat. Demikian juga Aisyah pernah menyentuh Nabi SAW ketika baginda menunaikan solat.
Jika sentuhan antara lelaki dan perempuan bukan mahram itu membatalkan wuduk, sudah tentu Nabi SAW akan membatalkan solatnya disebabkan wuduk baginda terbatal kerana baginda telah disentuh oleh Aisyah. Sedangkan Nabi SAW tetap meneruskan solatnya.
Pada hadis yang akhir juga jelas menunjukkan Nabi SAW mencium isterinya terlebih dahulu sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan solat. Dan Nabi SAW pergi masjid tanpa memperbaharui wuduknya, lalu menunaikan solat.

Pendapat ketiga: Menyentuh perempuan ajnabi sama ada isteri atau perempuan asing tidak membatalkan wuduk jika tidak bersyahwat. Tetapi jika sentuh dengan bersyahwat, maka wuduknya batal. Ini adalah pendapat mazhab Malik dan Hanbali.
Pandangan ini adalah hasil daripada gabungan dalil-dalil al-Quran dan as-Sunah, iaitu melalui ayat al-Quran yang membawa maksud, “Atau apabila kamu menyentuh wanita.” Kerana zahir pada ayat ini menunjukkan seolah-olah batal wuduk dengan hanya bersentuhan antara lelaki dan wanita. Ayat ini dibandingkan dengan hadis-hadis yang menunjukkan berlakunya persentuhan antara Nabi SAW dan Aisyah, tetapi baginda tidak memperbaharui wuduk.
Maknanya, ketika Nabi SAW khusyuk bersolat, maka tersentuh kulit Aisyah dengan Nabi SAW tidak mendatangkan syahwat. Akan tetapi, sekiranya timbul syahwat apabila menyentuh kulit isteri atau selainnya, maka perlu memperbaharui wuduk.
Sebahagian ulama terutamanya yang berpendapat tidak batal wuduk dengan bersentuhan antara lelaki dan perempuan, mereka menggabungkan nas-nas seperti yang dilakukan oleh ulama mazhab Malik dan Hanbali. Ini benar jika ayat al-Quran di atas membawa maksud sentuhan antara kulit semata-mata.
Akan tetapi ada tafsiran yang lain yang mana ia nya lebih sahih, iaitu ayat tersebut membawa maksud jimak atau bersetubuh, bukan sentuhan antara kulit semata-mata. Tafsiran ini disandarkan kepada sahabat Nabi SAW yang terkemuka di dalam bidang tafsir iaitu Ibnu Abbas. Penafsiran Ibnu Abbas lebih didahulukan berbanding penafsiran yang lain, kerana Nabi SAW pernah berdoa kepada Ibnu Abbas, doanya berbunyi,
اللهم فقهه في الدين وعلمه التأويل

Maksudnya: “Ya Allah, fahamkanlah ia (Ibnu Abbas) dalam ilmu agama dan ajarkanlah dia akan tafsir (al-Quran).”
(Direkodkan oleh Ahmad, no. 3102) [2]

Kata Ibnu Abbas, “atau kamu bersentuh dengan perempuan,” ialah membawa maksud jimak. [3]
Selain itu, banyak ayat-ayat al-Quran lain yang menggunakan kalimat menyentuh اللمسdengan maksud jimak atau bersetubuh. Antaranya ialah,
Firman Allah SWT,
لَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِنْ طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً
Maksudnya, “Tidak mengapa jika kamu mentalak isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh) mereka atau sebelum kamu menentukan mahar mereka.” (Al-Baqarah: 236)

Firman Allah SWT,
وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ
Maksudnya: “Jika kamu mentalak isteri-isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh), pada hal kamu telah menentukan mahar mereka, maka bayarlah setengah daripada mahar yang telah kamu tentukan itu.” (Al-Baqarah: 237)
Firman Allah SWT,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi wanita-wanita yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuh (yakni sebelum kamu menyetubuhi) mereka, maka tidak wajib ke atas mereka iddah bagi mu yang kamu minta menyempurnakan nya, maka berilah mereka mut’ah dan lepaskan lah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.” (Al-Ahzab: 49)
Berdasarkan kepada ayat-ayat ini, maksud sentuhan yang dikemukakan olehnya adalah merujuk kepada persetubuhan atau jimak, bukanlah sentuhan biasa iaitu antara kulit dan kulit.
Kesimpulannya, perkara ini adalah perselisihan yang diiktiraf oleh agama, iaitu para ulama masing-masing mengemukakan dalil. Disebabkan tiada dalil yang jelas, maka para ulama berbeza pandangan tentang hal ini.
Maka disebabkan perbezaan ini juga, kita boleh memilih pandangan yang ada di antara tiga pendapat di atas. Mungkin boleh jadi apabila kita berada di suatu tempat yang agak sesak dengan orang ramai seperti ketika bertawaf atau sebagainya, maka tidak mengapa untuk kita beralih kepada pendapat Imam Hanafi, atau Imam Malik dan Hanbali.
Namun jika sentuhan itu boleh mengeluarkan sesuatu daripada kemaluan kita seperti air mazi, maka ia boleh membatalkan wuduk atau tayamum. Sekiranya sentuhan itu tidak menimbulkan syahwat dan terhindar daripada terkeluarnya sesuatu dari kemaluan kita, maka tidak mengapa untuk memimpin isteri kita atau tersentuh dengan perempuan ajnabi yang lain tanpa kita memperbaharui wuduk.
Kesimpulan ini juga adalah pendapat yang dirajehkan oleh Prof. Dr Wahbah az-Zuhaili, iaitu beliau berkata, “Mengenai hadis Aisyah yang mana beliau menyentuh kaki Nabi SAW berkemungkinan dalam keadaan berlapik atau ia hanya khas bagi Nabi SAW adalah alasan yang sengaja diada-adakan dan ia bertentangan dengan realiti yang berlaku. Mengikut pendapat aku, yang paling rajeh ialah pendapat yang mengatakan bahawa menyentuh perempuan ajnabi secara tiba-tiba (tidak sengaja) atau tidak dalam keadaan bernafsu adalah tidak membatalkan wuduk. Sekiranya bernafsu, ia membatalkan wuduk.” [4]
[1] Dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani dan Syeikh al-Arnaut
[2] Dinilai sahih oleh Syeikh Syuib al-Arnaut
[3] Lihat: Tafsir Ibnu Kasir, 2/348
[4] Lihat: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/370

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | iFreeCellPhones.com offers free mobile phones. | Thanks to PalmPreBlog.com, Facebook Games and Fettverbrennungsofen