Oleh: Fathullah Al-Haq Muhd Asni,
Pada zaman awal Islam, al-Quran memainkan peranan yang amat penting dalam pengislaman ramai orang. Ini kerana, ia mempunyai beberapa kelebihan yang mana ia telah memberi kesan bagi sesiapa yang mendengar dan memahaminya dengan hati yang terbuka.
Antara kelebihan yang tidak dapat dinafikan, ia merupakan kitab yang diturunkan oleh Allah SWT, kesemua kandungannya adalah firman Allah SWT tanpa campur aduk dengan kata-kata makhluk, di dalamnya terdapat kata-kata yang indah, mengajar manusia untuk berakhlak mulia, mengajar manusia bebas daripada menyembah sesama makhluk kepada menyembah pencipta yang Maha Agung, menceritakan kisah-kisah umat terdahulu dengan tepat dan sebagainya.
Dengan sebab-sebab kelebihan ini, ia telah berjaya menggoda ramai manusia untuk beriman kepada Allah SWT. Banyak kisah dan bukti bahawa Nabi SAW berdakwah kepada orang bukan Islam melalui al-Quran, misalnya Nabi SAW mengutuskan para utusannya kepada wakil-wakil negara, lalu yang diisi di dalam surat itu adalah ayat-ayat al-Quran. Demikian juga bagi utusan-utusan yang datang daripada luar, pasti Nabi SAW membacakan ayat-ayat al-Quran kepada mereka.
Namun pada hari ini, disebabkan kekurangan umat Islam dalam memahami isi kandungan al-Quran. Bertambah buruk lagi apabila umat Islam tidak berjaya untuk mengamalkan isi kandungan al-Quran di dalam pelbagai peringkat.
Ia telah menimbulkan satu persepsi yang buruk orang bukan Islam kepada Islam dan kitab suci al-Quran. Ini kerana, mereka menyandarkan isi kandungan al-Quran kepada sikap-sikap orang Islam.
Misalnya, al-Quran menyeru kepada akhlak yang mulia, namun amat ramai orang Islam yang tidak berakhlak. Al-Quran menyeru agar umat Islam menghentikan kezaliman, namun amat ramai umat Islam yang zalim sesama sendiri. Al-Quran menyeru agar umat Islam membersihkan diri daripada unsur syirik, namun amat ramai umat Islam yang mengamalkan khurafat, syirik dan sebagainya.
Apatah lagi, apabila segelintir umat Islam menghalang daripada orang bukan Islam menyentuh dan membaca kitab-kitab suci al-Quran berdasarkan emosi yang tinggi. Ini memburukkan lagi keadaan.
Sudahlah kita tidak mengajar dan memberi faham kepada mereka tentang isi al-Quran, malah kita sering menghalang mereka daripada membaca isi kandungan al-Quran. Pelbagai alasan diberikan, ada yang baik dan ada yang tidak sesuai. Namun kadangkala ada alasan yang tidak munasabah.
Justeru, di dalam penulisan kali ini akan meleraikan beberapa persoalan penting iaitu sejauh mana Islam membenarkan orang bukan Islam berinteraksi dengan al-Quran? Adakah mereka boleh menyentuh al-Quran dan membacanya?
Pendapat para ulama yang membenarkan
Di sana terdapat para ulama yang membenarkan orang bukan Islam menyentuh al-Quran. Antaranya ialah, Imam Abu Daud az-Zohiri [1] dan al-Hakam bin Utaibah [2]. [3]
Perbahasan dalil
Antara dalil yang dipakai oleh mereka ialah:
Pertama: Berdasarkan peristiwa Nabi SAW menghantar surat kepada Maharaja Rom, di dalam kandungan surat itu berbunyi,
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللهِ وَرَسُولِهِ إِلَى هِرَقْلَ عَظِيمِ الرُّومِ سَلاَمٌ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَى أَمَّا بَعْدُ فَإِنِّي أَدْعُوكَ بِدِعَايَةِ الإِسْلاَمِ أَسْلِمْ تَسْلَمْ وَأَسْلِمْ يُؤْتِكَ اللَّهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ فَإِنْ تَوَلَّيْتَ فَعَلَيْكَ إِثْمُ الأَرِيسِيِّينَ ، وَ{يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَنْ لاَ نَعْبُدَ إِلاَّ اللَّهَ ، وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا ، وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ}
Maksudnya: “Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dari Muhammad utusan Allah untuk Heraklius Kaisar Romawi yang agung. Salam bagi siapa yang mengikuti petunjuk. Sesungguhnya aku mengajak kamu untuk memeluk Islam. Masuklah kamu ke agama Islam, maka kamu akan selamat dan anutilah agama Islam maka Allah memberikan pahala bagimu dua kali dan jika kamu berpaling maka kamu akan menanggung dosa orang-orang Rom. Katakanlah, “Wahai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimah (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka, “Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah) – Ali Imran: 64.”
(Direkodkan oleh Bukhari, no. 6260)
Berdasarkan kepada hadis di atas, Nabi SAW ada kemukakan ayat-ayat al-Quran di dalam surat tersebut untuk dihantar kepada Maharaja Rom. Oleh itu, sudah pasti ketika sampai surat itu ke tangan Maharaja Rom, beliau akan membaca dan memegang surat tersebut dengan tangannya dalam keadaan tidak bersuci. [4]
Kedua: Jika mereka membaca al-Quran tidak diharamkan, maka sudah pasti menyentuhnya juga tidak menjadi masalah. [5]
Ada pihak yang tidak membenarkan orang bukan Islam menyentuh al-Quran, namun dalil-dalil mereka tidak begitu kuat dan boleh disangkal. Antara alasannya ialah:
Pertama: Berdalilkan firman Allah SWT,
لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ
Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.” (Al-Waqiah: 79)
Adapun tentang tafsiran ayat “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.” (Al-Waqiah: 79). Para ulama menerangkan ayat ini membawa maksud bahawa makhluk yang menyentuh al-Quran itu adalah para Malaikat, bukannya manusia.
Ikuti penerangan yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Ibrahim Syaqrah, katanya, “Al-Quran adalah kitab yang suci, ia dijaga oleh Allah SWT daripada hari diturunkan sehinggalah ke hari kiamat. Adapun ayat ‘إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ’ yang bermaksud ‘Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan)’, ayat ini membawa maksud bahawa kitab suci al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Ayat ‘فِي كِتَابٍ مَكْنُونٍ’ yang bermaksud ‘Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara.’ Ayat ini membawa maksud bahawa disebabkan kemuliaan dan kehebatan kitab al-Quran, maka ia dijaga di tempat yang mulia.
Ayat ‘لَا يَمَسُّهُ’ yang bermaksud ‘kitab Yang tidak disentuh’. Ayat ini membawa maksud kitab ini berada di langit.
Ayat ‘إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ’ yang bermaksud ‘Melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci’. Ayat ini membawa maksud bahawa ia dijaga dan disentuh oleh para Malaikat yang suci. Ia tidak pernah disentuh oleh tangan-tangan yang jahat. Tafsiran ini adalah daripada Imam Ibnu Kasir.
Dengan tafsiran Ibnu Kasir tersebut, mendapati bahawa lafaz ‘مَكْنُونٍ’ membawa maksud Luh Mahfuz. Adapun ‘Ha Domir/kata ganti nama’ yang ada pada lafaz ‘لَا يَمَسُّهُ’ ialah merujuk kepada kalimah kitab yang ada pada ayat sebelumnya. Jika kata ganti nama tersebut kembali kepada kalimah al-Quran, jaraknya amat jauh.
Oleh itu, tidak mungkin kata ganti nama tersebut kembali kepada al-Quran. Dalam kaedah bahasa Arab juga menyebut bahawa kata ganti nama perlu merujuk kepada yang paling dekat dengannya. Justeru, kalimah yang paling dekat dengan kata ganti nama tersebut ialah pada kalimah kitab iaitu yang bermaksud Luh Mahfuz. [6]
Justeru, jika hendak menggunakan dalil ini bagi melarang orang bukan Islam menyentuh al-Quran adalah sama sekali tidak tepat.
Kedua: Berdalilkan kata Nabi SAW yang bermaksud, “Tidak menyentuh al-Quran, melainkan bagi orang yang suci.”
Namun sekali lagi dalil ini disangkal. Ini kerana, hadis ini jalan sanadnya adalah daif sebagaimana yang diberitahu oleh Imam an-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’. [7]
Demikian juga Ibnu Abdul Baar mengatakan hadis ini Mursal iaitu jalan sanadnya tidak sampai kepada Nabi SAW. [8]
Justeru, hadis yang daif tidak boleh dijadikan sumber hukum, kecuali dalam hal-hal fadilat amat.
Ketiga: Berdalilkan firman Allah SWT,
إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis.” (At-Taubah: 28)
Pada ayat ini seolah-olah kita beranggapan bahawa orang bukan Islam itu najis, sebenarnya mereka bukanlah najis secara zatnya (fizikalnya) tetapi yang menjadi najis pada mereka adalah disebabkan kepercayaan mereka, iaitu akidahnya yang tidak selari dengan Islam dan fitrah, maka al-Quran umpamakan kepercayaan mereka sebagai najis.
Adakah ayat al-Quran ini ditujukan kepada semua orang bukan Islam, atau pun ada pengkhususan mengenainya?
Pandangan majoriti ahli sarjana fikah menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan golongan najis itu hanyalah pada bukan Islam yang menyembah berhala seperti agama Budha sebagai contoh.
Tetapi pandangan Imam Syafie menyatakan bahawa ayat ini ditujukan kepada semua non-Muslim, ini juga pandangan Ibnu Umar, Jabir bin Abdullah, begitu juga Ibnu Hazam al-Andalusi [9], iaitu termasuk orang Kristian dan Yahudi (ahli kitab).
Maka dengan jelas membuktikan bahawa mereka hanyalah najis dari segi Ma’nawinya (kepercayaannya) sahaja, bukanlah najis dari segi fizikalnya. Jika kita lihat juga di dalam kitab-kitab fikah iaitu dalam memperincikan masalah perkara membatalkan wuduk, tidaklah menyebut bahawa menyentuh bukan Islam membatalkan wuduk.
Justeru, sekali lagi dalil ini tidak tepat digunakan untuk melarang orang bukan Islam menyentuh al-Quran.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada dalil yang dikemukakan oleh para ulama, maka dibenarkan orang bukan Islam untuk menyentuh al-Quran sama ada mushaf, terjemahan, tafsir dan lain-lain. Namun jika al-Quran itu disentuh bertujuan untuk menghinanya, ia sama sekali dilarang di dalam agama sama ada kepada orang Islam dan juga bukan Islam.
Adalah lebih baik juga jika diberikan kepada orang bukan Islam terjemahan al-Quran berserta tafsirannya sekali. Ia juga boleh menambah fahaman mereka mengenai al-Quran selain daripada tidak boleh memahami bahasa Arab. Selain itu, mereka bebas untuk bertanya kepada para ilmuwan atau para ustaz jika tidak memahami isi kandungannya.
Justeru, jika galakan ini dikomersialkan kepada masyarakat umum khususnya kepada bukan Islam. Sudah pasti ia boleh menyebar luaskan kefahaman al-Quran kepada seluruh masyarakat umum.
Secara tidak langsung ia boleh mengurangkan salah faham orang bukan Islam kepada agama Islam. Selain itu, mungkin dengan kefahaman ini, ia menjadi sebab-sebab utama untuk mereka memasuki agama Islam dengan hidayah Allah SWT.
Pandanglah dan berilah tunjuk ajar kepada mereka sebagai insan yang diciptakan oleh Allah SWT dengan penuh kasih dan sayang.
________________________________________
[1] Daud bin Ali bin Khalaf al-Asfahani az-Zohiri. Beliau adalah imam pada mazhab yang khusus, pengikutnya ramai dan dikenali sebagai az-Zohiriyah. Antara kitab-kitabnya ialah al-Idhoh dan al-Ifsoh. Beliau wafat pada tahun 270 hijrah di Baghdad: Wafiyat al-A’yan, 1/315, Kasyfu az-Zunun, Haji Khalifah, hlm. 268
[2] Beliau ialah al-Hafiz Abu Umar al-Kindi. Kata Ibnu Saad, “Beliau adalah seorang hakim, dipercayai, fakih, alim, banya dalam meriwayatkan hadis. Beliau wafat di Kufah pada tahun 115 hijrah semasa zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik: At-Tobaqot al-Kubra, 6/323, Tazkirah al-Huffaz, az-Zahabi, 1/88
[3] Al-Istizkar, Ibnu Abdul Barr, 8/12
[4] Al-Haawi al-Kabir, al-Mawardi, 1/144
[5] Al-Majmu’, an-Nawawi, 2/85
[6] Risalah fi tafsir al-Ayah as-Salasah: إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ (77) فِي كِتَابٍ مَكْنُونٍ (78) لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ (79). Oleh Muhammad Ibrahim Syaqrah
[7] Al-Majmu’, 2/78
[8] Al-Istizkar, Ibnu Abdul Barr, 8/13
[9] al-Muharror al-Wajiz, 6/452, Ibnu Kasir, 2/346, al-Muhalla, 1/183, Ruh al-Ma’ani, 10/76
Excellent goods from you, man. I’ve understand your
stuff previous to and you are just too magnificent.
I actually like what you’ve acquired here, certainly like
what you are saying and the way in which
you say it. You make it entertaining and you still care for to keep it wise.
I can’t wait to read far more from you. This is really a terrific website.
Feel free to visit my website; online colleges