Hukum Membasuh pakaian dengan kaedah (Dry Clean)

Oleh: Fathullah Al-Haq Muhd Asni

Hukum Membasuh pakaian dengan kaedah (Dry Clean), adakah ia suci dan boleh digunakan untuk solat?
Pada zaman ini, satu kaedah penyucian telah digunakan untuk mencuci pakaian. Kaedah ini tidak menggunakan air sebagai pembersih. Ia adalah bahan lain yang dipercayai boleh menghilangkan kotoran dan najis.
Persoalannya, adakah bahan-bahan yang digunakan selain daripada air mutlak ini boleh digunakan untuk membersihkan pakaian? Adakah halal pakaian itu dipakai setelah dibersihkan daripada bahan-bahan lain selain daripada air? Adakah ia boleh dipakai untuk solat dan sebagainya?
Mungkin hal ini akan menjadi persoalan kepada diri kita. Ini kerana, apa yang dipelajari di dalam fikh tempatan, kita hanya didedahkan bagaimana bersuci dengan menggunakan air, batu dan tanah. Selain daripada itu, kita tidak tahu sejauh mana ia dibenarkan di dalam agama.
Justeru, di dalam perbahasan ini, ringkasnya agama membenarkan untuk kita menghilangkan kotoran dan najis dengan menggunakan bahan-bahan selain daripada air, batu dan tanah. Ia tidak terhad hanya pada pakaian sahaja.
Malah apa-apa sahaja bahan lain, boleh juga menggunakan kaedah ini. Apa yang penting ialah memastikan kaedah tersebut boleh menanggalkan kotoran dan najis seperti teknologi-teknologi yang dicipta hari ini.

Pendapat para ulama yang membenarkan kaedah ini
Imam Abu Hanifah dan Abu Yusof berpendapat bahawa apa-apa sahaja bahan yang boleh membersihkan dan menghilangkan najis sama ada daripada air atau bahan-bahan selain daripadanya, maka ia boleh digunakan. [1]

Perbahasan dalil
Antara dalil yang digunakan oleh Imam Abu Hanifah ialah:
Pertama: Dalil yang menyuruh membersihkan najis datang dalam keadaan mutlak tanpa menghadkan dengan air sahaja.
Ini berdasarkan firman Allah SWT,
وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ (4)
Maksudnya, “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.” (Al-Muddathir: 4)
Suruhan membersihkan itu adalah bersifat mutlak, tanpa mengaitkannya dengan sesuatu seperti air. Justeru, sesiapa yang membataskannya hanya membasuh dengan air sahaja, maka ia telah menambah nas tanpa di sandar kepada dalil.

Kata Nabi SAW,
طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِيهِ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ
Maksudnya, “Basuhlah bekas kamu jika ia dijilat oleh anjing sebanyak tujuh kali basuhan.”
(Direkodkan oleh Muslim, no. 678)
Sekali lagi dalam hadis ini, Nabi SAW tidak terhadkan basuhan hanya dengan air. Suruhan membasuh bersifat mutlak.

Kedua: Ada nas yang membenarkan bersuci tanpa menggunakan air.
Ini berdasarkan hadis daripada Aisyah, katanya,
مَا كَانَ لإِحْدَانَا إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ تَحِيضُ فِيهِ فَإِذَا أَصَابَهُ شَيْءٌ مِنْ دَمٍ قَالَتْ بِرِيقِهَا فَقَصَعَتْهُ بِظُفْرِهَا.

Maksudnya, “Ada satu masa kami tidak mempunyai pakaian melainkan hanya tinggal satu sahaja. Namun ketika itu, pakaian itu sudah terkena darah, lalu aku menghilangkan darah tersebut dengan menggosoknya atau mengikisnya dengan jari.”
(Direkodkan oleh Bukhari, no. 312)
Berdasarkan hadis ini menunjukkan, jika boleh menghilangkan najis dengan hanya menggosoknya sahaja dengan jari, maka tidak perlu lagi menggunakan air. Ini membuktikan bahawa bersuci atau menghilangkan tidak terhad hanya dengan air.

Nabi SAW pernah berkata,
إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ فَإِنْ رَأَى فِى نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا
Maksudnya, “Apabila kamu pergi ke masjid, namun terlihat pada kasut kamu ada kekotoran atau benda yang menyakitkan, maka sapulah ia (dengan apa-apa sahaja bahan). Kemudian boleh solat dengannya.”
(Direkodkan oleh Abu Daud, no. 650) [2]
Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi SAW hanya menyuruh menyapu sahaja kasut-kasut sehingga tertanggal najis atau kotoran yang ada padanya, maka ia sudah bersih tanpa menggunakan air. Kemudian ia boleh dibawa untuk menunaikan solat.

Ketiga: Dalil daripada kias
Bersuci adalah bertujuan untuk menanggalkan dan menghilangkan kotoran atau najis yang ada pada satu-satu benda. Justeru, jika satu-satu pakaian itu bersih pada asalnya dan terkena najis kemudiannya, maka najis itu perlu ditanggalkan atau dihilangkan dengan menggunakan air. Kemudian pakaian itu menjadi bersih, lalu ia kembali kepada sifat asal iaitu bersih dan suci.
Demikian juga dengan menggunakan bahan-bahan lain, jika bahan-bahan itu fungsinya boleh menghilangkan dan menanggalkan najis yang ada pada pakaian tersebut, maka pakaian itu kembali kepada sifat asalnya iaitu bersih dan suci. [3]
Konsep ini sama sahaja dengan menggunakan kaedah ‘dry clean’, iaitu ia boleh berfungsi untuk menghilangkan dan menanggalkan najis. Malah penggunaannya dan kesannya amat baik berbanding dengan menggunakan air semata-mata. Ini kerana, ia lebih kuat menanggalkan kotoran serta menghilangkan bau yang busuk di samping menghasilkan bau yang wangi.

Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan dalil-dalil yang pelbagai, maka tidak mengapa jika seseorang itu hendak menghilangkan najis atau kotoran selain daripada air. Namun, hendaklah dipastikan bahawa bahan tersebut bukanlah najis dan yakin bahawa bahan tersebut boleh menanggalkan najis.
Selain itu, tidak ada dalil yang menghadkan basuhan atau bersuci dengan menggunakan air semata-mata kecuali ibadat yang sudah dikhususkan berdasarkan dalil seperti wuduk dan mandi wajib.
Namun, selain itu tidak dihadkan hanya dengan air seperti membasuh qubul dan dubur dengan menggunakan batu, atau menyapu kotoran yang ada pada kasut dan sebagainya. Demikian juga tiada dalil yang melarang daripada menggunakan selain air untuk bersuci.
Sesiapa yang mendakwa bahawa menghilangkan najis yang zahir itu adalah daripada perkara ibadat, maka dakwaan itu tidak berdasarkan dalil. Ini kerana, menyamakan konsep hilangkan najis dengan konsep mengangkat hadas adalah kias yang tertolak.
Konsep mengangkat hadas memerlukan syarat-syarat yang tertentu seperti niat pada awalnya. Namun tidak pada konsep bersuci daripada najis yang bersifat zahir. Ia tidak memerlukan beberapa syarat. Jika sudah hilang najis, maka ia dianggap suci dan bersih. [4]
Oleh itu, pakaian atau kain-kain yang seumpama dengannya boleh dibersihkan oleh bahan-bahan pembersih seperti ‘dry clean’ atau seumpama dengannya.

[1] Al-Hidayah, syarah kepada al-Binayah, oleh Ali bin Abu Bakar, 1/34
[2] Disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil, 1/314
[3] Al-Ghurrah al-Munifah, al-Ghaznawi, hlm. 15
[4] Majmu’ al-Fatawa, Ibnu Taimiyah, 21/475 – 477, 508 – 598)

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | iFreeCellPhones.com offers free mobile phones. | Thanks to PalmPreBlog.com, Facebook Games and Fettverbrennungsofen